ADUN Selat Klang Abdul Rashid Asari patut kosongkan kerusi itu jika beliau ada maruah, kata Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris.
Razali mengulas demikian susulan Rashid berkata parti itu akan hilang sokongan jika ia terus bersama dengan parti Islam, PAS.
“Rashid tidak ada maruah, tidak berani dan tidak mengenang budi. Dia menang kerana Perikatan Nasional (PN), dan itu termasuk sokongan PAS. Dia tidak menang kerana dirinya atau namanya.
“Jika dia hendak beri komen seperti itu, dia patut jadi orang yang ada maruah dan kosongkan kerusi itu kerana sokongan gabungan ini yang buat dia menang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Awal hari ini, satu laporan disiarkan portal Free Malaysia Today, Rashid dipetik sebagai berkata Bersatu akan terus hilang sokongan jika ia kekal menjadi sekutu PAS.
Adun Bersatu itu yang kini menyokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata parti yang dilabelkan sebagai “terlalu ekstrem” itu boleh dipersalahkan atas kehilangan sokongan Bersatu.
Razali berkata Adun Selat Klang itu perlu berhenti mengulas berkenaan PN atau ahli gabungannya, memandangkan sekarang beliau memilih untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Rashid tidak perlu bercakap tentang Bersatu atau PN lagi. Dia sudah beralih pihak dan mengecam Bersatu (baru-baru ini).
“Jadi dia tidak perlu ajar kami apa yang perlu kami buat.
“Bersatu dan PAS di bawah PN sangat kuat. Kami sudah pun mengawal banyak negeri dan malah Selangor juga, kami semakin hampir menawan negeri ini. Tidak banyak kerusi lagi yang tinggal.
“Jadi pendapat Rashid adalah pandangan orang yang lemah, orang yang tewas dalam perjuangan.
“Apa lagi yang anda tunggu Rashid? Kosongkan kerusi dan mari bertanding dalam pilihan raya, kita lihat apa keputusannya,” kata Razali.
Rashid, yang turut berkongsi pentas dengan pemimpin PH pada kempen PRK Kuala Kubu Baharu, berkata secara peribadi beliau hilang kepercayaan terhadap PAS.
Katanya, walaupun bercakap tentang agama, parti itu tidak mampu menepati perjanjian mudah.
Rashid mendakwa ketika PN berbincang tentang pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15, ada perjanjian bertulis menyatakan Bersatu akan bertanding di Kapar, tetapi PAS ambil kerusi itu pada saat akhir.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata Rashid tidak mempunyai kesungguhan politik yang kuat dan dilihat seperti lalang, sering berubah haluan mengikut keadaan.
“Tidak ada gunanya bercakap tentang orang yang tidak ada kesungguhan politik yang kuat.
“Dia orang yang tidak ada pendirian sendiri pun, maka kenapa dia hendak tentukan apa yang parti perlu buat.
“Saya tidak mahu bazir masa saya untuk dia. Dia tidak ada gunanya untuk PN,” kata Afnan yang juga wakil rakyat Alor Setar kepada The Malaysian Insight. – 16 Mei, 2024.
Komen