Tiada lagi Umno di Sabah, kata Jeffrey Kitingan


The Malaysian Insight

UMNO Sabah akan ditutup dan inilah sebabnya mengapa Jeffrey Kitingan berkata beliau akan menyokong Musa Aman dalam usaha membentuk kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi Star Sabah itu, Musa telah berkata kesemua wakil rakyat dan ahli bahagian Umno akan dipindahkan ke sebuah entiti baharu.

“Konsep ini diperetujui dan sekarang proses akan diteruskan dan saya pasti rakyat akan gembira apabila tiada lagi Umno di Sabah,” kata Jeffrey, sambil menambah bahawa Sabah juga perlu bergerak ke depan dan menghapuskan perkara-perkara yang tidak relevan bagi rakyat.

Malaysia Decides kini sedang cuba mendapatkan respon dari pemimpin-pemimpin Umno berhubung kenyataan Jeffrey itu.

Parti Jeffrey menang di kerusi DUN Bingkor dan Tambunan.

Bagaimanapun, keputusan Star untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN) memberikan BN majoriti mudah bagi membolehkan ia membentuk kerajaan negeri selepas terikat 29 kerusi bersama Parti Warisan Sabah.

Jeffrey menafikan tuduhan bahawa beliau telah mengkhianati rakyat Sabah apabila menyokong BN.

“Tidak, tidak. Saya bukan pengkhianat. Mereka tak faham apa yang saya buat sekarang. Saya belum jelaskan kepada mereka lagi,” katanya.

“Saya mengambil peluang ini untuk menstruktur semula pendekatan politik kami, supaya tidak lagi dikawal oleh Semenanjung,” beliau berkata hari ini.

Keputusan Jeffrey untuk menyertai Musa telah menyebabkan protes di di Kota Kinabalu malam tadi.

Jelas Jeffrey, beliau tidak akan berganjak daripada matlamatnya untuk memastikan Umno berkubur di Sabah.

Beliau berkata kerajaan negeri kini hanya akan terdiri daripada parti-parti politik Sabah.

“Kami tidak akan bertindak secara terburu-buru. Kami akan mulakan dengan membentuk beberapa idea asas dan kemudian menyaringnya untuk membentuk sebuah parti baharu.

“Ini sudahpun dipersetujui perlu dilaksanakan segera. Jadi, parti ini akan menjadi parti yang memerintah dalam Kabinet negeri,” katanya.

Jeffrey berkata memandangkan beliau kini menjadi ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat, beliau akan memastikan janji PH untuk mengembalikan hak negeri ditunaikan.

“Seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan iaitu mengembalikan hak negeri, saya akan pastikan mereka akan berpegang kepada janji mereka itu apabila membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen