KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baru (KKB) hujung minggu lalu membuktikan DAP masih memegang kuat sokongan majoriti masyarakat Cina, kata Ong Kian Ming.
Walaupun MCA memboikot untuk berkempen bersama calon Pakatan Harapan (PH) di KKB, bekas ahli Parlimen Bangi itu berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak mampu meyakinkan pengundi untuk tidak memilih DAP.
“MCA membuktikan mereka itu tidak lagi relevan dalam politik kerana walaupun mereka boikot kempen ini, PH tidak hilang undi Cina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ong berkata Gerakan yang bertanding di KKB untuk Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri Ogos lalu turut menawan undi Cina pada PRK kali ini.
“Gerakan juga membuktikan mereka tidak efektif untuk bertanding dengan tiket PN dan gagal menang walau 5% pun undi Cina seperti dijanjikan presidennya, Dominic Lau,” katanya.
Calon DAP, Pang Sock Tao menang PRK itu dengan majoriti 3,869 undi. Beliau meraih 14,000 undi menewaskan pesaing terdekatnya, calon PN Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,131 undi.
Calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin mendapat 152 undi dan calon bebas Nyau Ke Xin menerima 188 undi.
Ong berkata PH berjaya mengekalkan cengkamannya terhadap pengundi Cina.
Di enam pusat mengundi dengan majoriti Cina dengan lebih 100 pengundi, PH berjaya menambah undinya daripada 83.9% pada Ogos 2023 kepada 86.2% pada 2024.
“Ini tidak mengejutkan kerana PN mengabaikan undi Cina apabila ia memutuskan untuk meletak calon Melayu pada PRK ini tidak ada usaha untuk berkempen di kawasan pusat mengundi yang mempunyai majoriti pengundi cina,” katanya.
Pencapaian PH bertambah baik
Berdasarkan kepada keputusan PRK itu, Ong berkata PH menambah baik pencapaiannya daripada PRN pada tahun lalu dalam beberapa segmen pengundi terutama dalam kalangan polis, tentera dan penjawat awam serta pengundi Orang Asli dan India.
“Segmen pengundi pertama adalah kalangan polis, tentera dan pengundi pos (kebanyakannya penjawat awam),” katanya.
Beliau berkata PH berjaya menang kebanyakan undi yang sebelum ini diperoleh calon Muda pada 2023 di Ladang Nigel Gardner, di mana ia antara sebab kepada kenaikan jumlah undi majoriti diterima PH kali ini.
“Secara keseluruhan, undi dimenangi PH di dua pusat mengundi meningkat daripada 59.6% pada 2023 kepada 69.5% pada 2024, peningkatan hampir 10%,” katanya.
Melayu masih belum sokong PH sepenuhnya
Ong yang juga bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, berkata PN masih mendapat sokongan orang Melayu.
Katanya, ada penurunan kecil dalam pencapaian PH di pusat mengundi majoriti Melayu.
“Tidak mengejutkan, PH kalah di lima pusat mengundi majoriti Melayu di mana undi turun 1.3% daripada 40.0% pada 2023 kepada 38.7% pada 2024.
“Walaupun PH memperoleh undi di pusat mengundi Kampung Air Jernih dan Kerling, ia hilang undi di Ampang Pechah dan Bandar Utama Batang Kali di mana ia kawasan majoriti pengundi Melayu di KKB.
“Tiga pusat mengundi ini juga tempat di mana PN fokuskan kempen mereka daripada segi ceramah dan aktiviti berkaitan kempen,” katanya.
Jangan terlebih tafsir keputusan PRK KKB
Ong berkata status quo untuk PRK KKB mempunyai implikasi positif dan negatif untuk PN dan BN, serta PN.
Bagi PH, keputusan di KKB mungkin diterjemahkan sebagai undi percaya untuk PH dan kerajaan perpaduan, untuk pentadbiran berjalan seperti biasa.
“Ini mungkin silap memandangkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dalam kalangan pelbagai segmen rakyat, memang benar-benar berlaku.
“Ramai rakan saya dalam PH tentu ingat PRK Ijok pada April 2007 yang dimenangi selesa oleh calon BN. Tetapi kurang setahun kemudian pada Mac 2008, pada PRU13, BN hilang Selangor dan dua pertiga majoriti di Parlimen,” katanya.
Ong berkata silap juga untuk Umno berfikir yang undi Melayu sudah mula untuk berpihak kepada mereka.
“Keputusan di kawasan majoriti Melayu di KKB jelas menunjukkan sebaliknya.
“Parti itu masih kurang perancangan untuk bagaimana ia dapat memenangi semula undi Melayu, terutama dalam kalangan belia Melayu,” katanya.
Beliau berkata PN juga silap jika berfikir populariti kerajaan semasa akan memudahkan ia kembali berkuasa pada PRU16.
“Walaupun PN mempunyai majoriti sokongan Melayu di seluruh negara, ia masih tidak dapat memastikan mereka untuk menang kerusi majoriti di semenanjung, terutama jika ada perubahan kepimpinan dalam Bersatu yang akan terus melemahkan kemampuan parti itu untuk berkempen dan dilihat sebagai bakal kerajaan yang berwibawa.
“Pergelutan di akar umbi adalah dalam kalangan Melayu kelas pertengahan yang boleh berubah hati dengan kepimpinan, dasar dan pelaksanaan yang baik,” katanya. – 14 Mei, 2024.
Komen