KERAJAAN baru di Sabah tidak akan diiktiraf sekiranya terdapat unsur rasuah dalam proses pembentukannya selepas rakyat bersuara dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Misalnya di Sabah. Warisan memenangi 35 kerusi tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus melakukan kiraan semula sehingga kerusi yang dimenangi parti itu menjadi 29 kerusi.
“Sekarang mereka ada masalah sebab tak boleh membentuk kerajaan, ada cubaan untuk membawa orang (wakil rakyat) supaya melompat menggunakan wang (di Sabah),” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri untuk kali kelima malam tadi.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.
Musa mengangkat sumpah walaupun sejumlah penduduk negeri itu yang mengadakan himpunan di bandar raya Kota Kinabalu bagi menyuarakan bantahan terhadap BN.
Tiada pihak yang mendapat majoriti mudah pada PRU14.
BN mendapat 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jumlah sama yang diperolehi Warisan dan rakan kerjasamanya PKR dan DAP.
Namun, selepas Parti Solidariti Tanah Airku (Star) memutuskan untuk bekerjasama dengan BN, ia memberikan majoriti mudah kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri.
Dr Mahathir berkata, kerajaan boleh menerima jika ada wakil rakyat yang berpindah parti atas dasar prinsip namun andainya mereka “dibeli” ia adalah tidak wajar.
“Kami tidak mengiktiraf ini sebagai perubahan kerajaan yang betul,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut berkata, sekiranya terdapat bukti penipuan, pilihan raya kecil mungkin diadakan di negeri tersebut.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat sekiranya terdapat elemen rasuah dalam isu ini. – 11 Mei, 2018.
Komen