Pemimpin Pakatan akan menghadap Sultan Perak tengahari ini


The Malaysian Insight

PEMIMPIN Pakatan Harapan Perak akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tengahari ini bagi meminta nasihat baginda mengenai kemelut politik di negeri itu.

Ketua PH Perak, Ahmad Faizal Azumu memberitahu Malaysia Decides yang mereka masih kurang satu kerusi untuk membentuk majoriti mudah yang diperlukan- sekurang-kurangnya 30 kerusi- untuk membentuk kerajaan negeri.

“Saya perlu kerja keras,” kata Ahmad Faizal yang juga merupakan ahli Parlimen Tambun dan Adun Chenderiang baru dilantik.

Dengan 29 kerusi, PH adalah gabungan parti politik yang menang paling banyak kerusi di negeri yang ada 59 kerusi itu.

Barisan Nasional-Umno menang 27 kerusi dan PAS menang tiga kerusi dalam salah satu pertempuran pilihan raya paling sengit dalam sejarah Perak.

Situasi semasa meletakkan PAS sebagai penentu (kingmaker) pembentukan kerajaan negeri.

Menariknya, malam semalam BN-Umno mengisytiharkan mereka memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dan akan meminta untuk menghadap Sultan Perak tanpa menjelaskan bagaimana mereka mampu berbuat demikian.

Penasihat DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berkata PAS tidak hadir pada sidang media semalam kerana BN tidak mampu memenuhi syarat PAS.

Ketua Perak BN Zambry Abd Kadir, Timbalan Ketua Saarani Mohamad atau mana-mana tiga Adun PAS tidak hadir pada sidang media BN semalam.

Setakat tengahari semalam, pemimpin PAS Perak masih tidak memutuskan sama ada untuk membentuk kerajaan negeri bersama-sama BN atau PH.

Pesuruhjaya Negeri Razman Zakaria sekarang berada di Terengganu untuk bertemu kepimpinan tertinggi parti Islam itu untuk berbincang dan mencari penyelesaian kemelut di Perak. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen