TIADA perubahan ketara dalam trend atau corak mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baru (KKB) semalam, kata penganalisis.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata trend mengundi hampir serupa dengan pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu, menyebabkan calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,869 undi.
Beliau berkata ini antara sebab mengapa Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya meraih undi mencukupi untuk menang.
“Faktor sebenar kegagalan PN untuk mengubah status quo adalah kerana tiada perubahan corak yang ketara dalam kalangan pengundi. Dalam kata lain, trend mengundi masih berterusan pada PRK ini.
“PN sudah pun menerima jumlah maksimum undi daripada pengundi Melayu.
“Pada PRN lalu, PN menerima 79% undi Melayu. Menggunakan data itu, mereka menjangka akan ada lebih lagi undi Melayu kali ini dan peningkatan undi daripada pengundi India berikutan protes mereka.
“Tetapi keputusannya tidak diterjemahkan seperti dijangka,” katanya.
Pada PRK semalam, Pang daripada DAP memenangi KKB selepas menerima 14,000 undi, menewaskan calon PN Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,131 undi.
Calon bebas Nyau Ke Xin mendapat 188 undi sementara calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainudin dapat 152 undi.
Hisomudin berkata PN terlalu teruja untuk menamatkan dominasi DAP di KKB yang dipegangnya sejak 2013.
“Sokongan Melayu, termasuk golongan muda orang Melayu, masih menolak DAP, PH dan kerajaan perpaduan.
“Sementara itu, PH hanya bergantung sepenuhnya kepada undi bukan Melayu terutama Cina dan India.
“Dengan keputusan ini, PH mengekalkan trend dominasi mereka dengan memperoleh hampir semua undi bukan Melayu,” katanya.
Hisomudin berkata antara sebab PN gagal menerima lebih banyak sokongan Melayu adalah kerana isu dan naratif dibawa gabungan itu kurang sesuai dengan kumpulan etnik itu di Selangor, terutama di kawasan kerusi bercampur seperti KKB.
“Faktor lain termasuk pencapaian tidak memuaskan wakil rakyat Hulu Selangor dan dua lagi wakil PN iaitu Adun Batang Kali dan Hulu Bernam, menyumbang kepada masalah untuk meyakinkan pengundi,” katanya. – 12 Mei, 2024.
Komen