KEMENANGAN calon Pakatan Harapan (PH)/DAP Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) di Selangor semalam adalah bukti Perikatan Nasional (PN) masih sukar menembusi kawasan dengan pengundi bercampur pelbagai kaum, kata penganalisis.
Pakar politik berkata keputusan itu membuktikan masyarakat bukan Melayu belum bersedia untuk menerima PN sebagai gabungan yang boleh memperjuangkan mereka.
Pang menang di KKB dengan 14,000 undi, menewaskan calon PN Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,131 undi. Majoriti kemenangan adalah 3,869 undi.
Calon bebas Nyau Ke Xin hanya meraih 188 undi sementara calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin mendapat 152 undi.
Seramai 40,226 pengundi berdaftar di KKB, terdiri daripada pengundi campuran pelbagai kaum iaitu Melayu (53.4%), Cina (30.5%) dan Indian (15.82%). Selebihnya adalah Orang Asli dan lain-lain.
Jumlah pengundi keluar mengundi semalam adalah 61.51%, antara peratusan paling rendah dalam PRK yang pernah diadakan sejak pilihan raya umum 2022.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata kekalahan PN menunjukkan mereka adalah parti yang berasaskan satu kaum saja.
“Untuk menang di kawasan bercampur seperti KKB, Perikatan perlukan sokongan sekurang-kurangnya sejumlah daripada pengundi bukan Melayu. Tetapi gabungan itu gagal berbuat demikian.
“Bukan Melayu melihat Perikatan tidak serius memperjuangkan nasib mereka,” kata profesor sains politik itu, menambah tidak mengejutkan apabila DAP kekal mempertahankan kerusi itu yang dipegang sejak 2013.
Pang yang juga setiausaha politik kepada Menteri Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berjaya mengekalkan kerusi KKB yang kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.
Sementara itu, pensyarah Universiti Tasmania James Chin berkata bukan Melayu terutama pengundi Cina, mengekalkan kerusi itu untuk DAP.
Beliau berkata Cina, yang membentuk 30.5% daripada keseluruhan pengundi berdaftar di KKB, mengesahkan peluang kemenangan DAP dengan menyokong parti itu.
“Ia memang kerusi DAP dan kemenangan itu menunjukkan kaum Cina tidak sanggup membiarkan parti itu pada PRK kali ini,” katanya.

Chin berkata kesilapan PAS adalah menyasarkan sekolah vernakular dan latar belakang pendidikan Phang yang menyebabkan golongan bukan Melayu terutama Cina, berang.
“Kesilapan bodoh oleh Ketua Penerngan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyerang pendidikan vernakular dan pendidikan Cina yang diterima calon DAP menyebabkan ramai pengundi Cina marah.
“Dia buat ramai pengundi Cina menyampah, dan menimbulkan pandangan bahawa PAS dan PN menentang mereka.
“Masyarakat Cina memang sudah sedia tidak berkenan dengan pandangan ekstrem PN dan ini menyebabkan keadaan bertambah buruk. Sebenarnya, PAS membantu DAP untuk menang,” katanya.
Ketika berkempen, Fadhli memainkan isu calon PH adalah bekas pelajar vernakular Cina.
Wakil rakyat Pasir Mas itu mencabar Pang untuk mendedahkan latar belakang sekolah rendah dan menengahnya.
Chin berkata memandangkan majoriti pengundi Cina memilih DAP, jadi ia tidak memerlukan sokongan ramai undi Melayu atau India untuk mengekalkan kerusi itu.
“Ramai juga yang memberikan undi simpati untuk mendiang Adun di itu, dan kemudian ditambah dengan serangan PAS terhadap sekolah vernakular dan pendidikan Cina.
“Selain itu, tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak ikut campur pilihan raya itu dan membenarkan DAP mengetuainya juga ternyata berkesan.
“Dan akhir sekali adalah, kaum Cina bertekad untuk memastikan DAP kekal di kerusi itu,” katanya. – 12 Mei, 2024.
Komen