Abd Ghani bersara sebagai pengerusi SPR selepas 4 tahun


Abdul Ghani Salleh bersara wajib daripada jawatannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula semalam selepas mengetuai badan itu selama empat tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei 2024.

ABDUL Ghani Salleh bersara wajib daripada jawatannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula semalam selepas mengetuai badan itu selama empat tahun.

Dalam catatan di X, SPR berkata Ghani memegang jawatan itu sejak Ogos 2020.

“SPR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg Tan Sri Abdul Ghani Salleh atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai Pengerusi SPR (21 Ogos 2020 hingga 9 Mei 2024),” katanya.

Abdul Ghani sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Daerah Kuala Langat dan pegawai daerah Gombak.

Menurut laporan media, beliau berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu esok adalah tugas terakhirnya sebagai pengerusi.

Kumpulan reformasi pilihan raya Tindak Malaysia semalam menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pembaharuan dalam pelantikan pegawai SPR.

Pengarah Tindak Malaysia Danesh Prakash Chacko berkata pindaan itu tepat pada masanya kerana SPR bakal diterajui oleh pengerusi baharu.

“Memandangkan pilihan raya memberi legitimasi kepada kerajaan persekutuan dan negeri, kami menyeru kerajaan sedia ada memperlihatkan komitmen pembaharuannya dengan merujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sedia ada dan bersedia bagi pindaan perlembagaan yang lebih meluas mengenai pilihan raya.

“Masa singkat dan tidak boleh disia-siakan peluang keemasan ini,” katanya.

Sementara itu kerajaan masih belum mempunyai nama siapa yang bakal menggantikan Abdul Ghani. – 10 Mei 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen