Kebebasan media jadi keutamaan Pakatan, kata Nurul Izzah


The Malaysian Insight

KEBEBASAN media merupakan antara agenda utama Pakatan Harapan (PH) sebaik saja urusan berkenaan barisan Kabinet selesai, kata Nurul Izzah Anwar hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata kerajaan baharu berjanji untuk memberi lebih kebebasan kepada media dengan menghapuskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Komitmen saya untuk memastikan media bebas dan adil di negara ini.

“Kita bercakap mengenai era baharu yang meraikan kebenaran dan membenarkan kritikan yang adil untuk masa depan negara yang berjaya,” kata Nurul Izzah di luar Yayasan Al-Bukhary.

Naib Presiden PKR itu turut berkata beliau akan menggesa kerajaan untuk menubuhkan sebuah “majlis media”.

PH ketika ini sedang bermesyuarat bersama pemimpin-pemimpin tertinggi dari kesemua empat parti komponen yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini termasuk Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Majlis Presiden Saifuddin Nasution, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Penganjuran Kebangsaan DAP Anthony Loke.

Saifuddin berkata Dr Mahathir mempengerusikan satu mesyuarat khas bersama Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen