UMNO menyambut ulang tahun ke-72nya hari ini tetapi sambutan yang sepatutnya meriah bertukar penuh duka apabila parti Melayu itu hilang kuasa bentuk kerajaan persekutuan setelah kalah terjelepok dua hari lepas.
Ia hanya menang 54 kerusi Parlimen pada PRU14, jauh lebih rendah berbanding 88 yang dimenanginya pada 2013, sekaligus menjadikan Presiden Umno Najib Razak adalah presiden parti dan perdana menteri pertama kalah pilihan raya umum.
Lebih daripada itu, hayat parti itu sedang dalam bahaya. Musuh politiknya mendakwa parti itu tidak sah kerana pemilihan parti yang sepatutnya dijalankan 19 April lalu tidak dilakukan walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sudah memberikan lampu hijau pelanjutan setahun lagi, tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan Umno.
Kita abaikan dulu soal undang-undang, tetapi pemimpin tertinggi Umno selama ini memang diketahui umum berkuasa kerana jawatan dalam kerajaan dan lantikan mewah dalam sektor swasta serta pemberian kontrak. Ini membolehkan parti itu terus hidup dan mengumpul ramai pengikut dan pendamping yang selama ini mengambil kesempatan meraih faedah.
Kehilangan kerajaan bermakna sumber pendapatan semua “pemimpin” ini hilang sekelip mata. Mereka tak boleh lagi bergantung kepada kepada pemberian, sumber dan hubungan kerajaan untuk menyokong kehidupan mewah penyokong mereka.
Kejutan pilihan raya juga bermakna jangka hayat kepimpinan tertinggi parti tidak lama. Bekas Presiden Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan setahun selepas Barisan Nasional hilang majoriti besar Parlimen pada PRU2008.
Najib terus berkuasa walaupun hilang undi popular pada PRU2013 tetapi keputusan pada 2018 kesannya akan jadi jauh lebih dahsyat. BN hilang kuasa kerajaan. Umno hilang negeri kelahiran, Johor dan banyak lagi kubu kuatnya.
Tetapi mereka yang mengambil alih adalah mereka yang berada dalam parti itu ketika ia mencengkam kerajaan. Tempoh pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun dan program penswastaan menyebabkan ramai pemimpin Umno kaya raya menerusi amalan pemberian peruntukan dan kontrak kepada kroni dan proksi.
Ia sudah tidak lagi berlaku. Kepimpinan semasa akan mendapati dana akan sukar diperolehi kerana taikun niaga meninggalkan mereka dan mengerumuni musuh politik Umno-BN yang kini mentadbir negara. Nasib mereka kini samalah seperti Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu yang dibentuk tiga tahun lepas, merayu derma orang ramai untuk bertanding pilihan raya.
Tidak berduit. Tidak berkuasa. Itulah takdir Umno sekarang dan buat masa panjang, mungkin untuk dua atau tiga pilihan raya akan datang, sebelum parti Melayu itu mampu mencetuskan gelombang kebangkitan kembali merampas jawatan kerajaan. Atau mungkin juga, mereka akan tersungkur selamanya. – 11 Mei, 2018.
Komen