Tiada jalan mudah untuk Najib


The Malaysian Insight

KALAU Najib Razak mengharapkan jalan mudah daripada Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan barunya berhubung dakwaan skandal 1MDB, harapan itu punah setelah 18 jam bermuslihat selepas PRU14.

Apabila jelas bahawa Najib dan Barisan Nasional (BN) perlu mengosongkan Putrajaya, seorang anggota keluarga Razak mengirimkan pesan pada awal pagi 10 Mei kepada beberapa orang yang dekat dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH), membayangkan maksud kemungkinan Najib berundur dengan pemahaman beliau tidak akan didakwa.

Melihat pada janji Dr Mahathir semasa kempen untuk menyiasat sepenuhnya skandal 1MDB, permintaan seperti itu tentunya akan ditolak.

Tetapi pemenang selalunya berjiwa besar dan beberapa anggota keluarga Razak menaruh harapan Dr Mahathir akan menunjukkan kemurahan hatinya dalam merayakan kejayaan.

Harapan itu padam beberapa jam kemudian apabila jelas bahawa Najib dan pemimpin Umno gigih berusaha sedaya upaya mahu membentuk pakatan dengan PAS dan memujuk sekelompok dalam wakil rakyat PH untuk melompat.

PAS difahamkan setuju untuk bergabung dengan BN. Tetapi gabungan itu pun (BN 79 kerusi, PAS 18 kerusi) tidak cukup untuk memberikan Najib majoriti mudah yang diperlukan untuk kekal di Putrajaya.

Pada ketika itu, jelaslah bahawa Najib tidak dapat menerima keputusan dan hidup dalam kepompong ciptaannya sendiri. Beliau dan konco-konconya percaya bahawa wakil rakyat PKR boleh dipujuk untuk masuk pakatannya dan meninggalkan Dr Mahathir dan PH.

Ada usaha untuk menanam rasa curiga terhadap cita-cita Dr Mahathir dan kemungkinan Anwar Ibrahim kemudiannya akan dilupakan dan diketepikan.

Tetapi tidak ada kemungkinan calon PKR yang menang akan menyeberang. Mereka baru saja menang sebuah pilihan raya yang bersejarah dan dijulang sebagai wira yang menumbangkan sebuah rejim jahat. Tidak berapa lama lagi, pemimpin mereka akan memegang jawatan kanan dalam kabinet baru.

Jadi apa sebab PKR hendak mengetepikan semua itu dan bergabung dengan pihak yang sudah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia?

Tetapi Najib dan penasihat-penasihatnya masih percaya keajaiban boleh berlaku.

Impian melangit itulah yang mewarnai strategi di sebalik ucapan Najib kepada negara pada 11 pagi semalam apabila beliau tidak mengaku kalah sebaliknya membayangkan tiada mana-mana pihak yang mendapat majoriti muda yang diperlukan untuk diisytiharkan sebagai pemenang PRU14.

Sebaik saja ucapan itu dibuat, konco-konconya kembali mengusahakan terbentuknya sebuah pakatan.

Pada masa itu, rasa resah mula menyelubungi seluruh Malaysia kerana Dr Mahathir masih belum lagi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Pada masa itu juga beberapa raja-raja Melayu, terutamanya Perlis dan Negeri Sembilan, berusaha di sebalik tabir untuk memastikan majlis angkat sumpah itu tidak dilengah-lengahkan lagi.

Hanya pada sekitar pukul 5 petang Khamis, Najib akhirnya dapat menerima bahawa pelan besar untuk membentuk sebuah pakatan yang akan mengekalkan beliau dalam kuasa sudah lebur.

Hakikatnya, idea itu memang tidak boleh dipertahankan – idea yang dicetuskan oleh seorang yang terdesak untuk berpaut pada kuasa dan diatur oleh seorang yang dikelilingi ahli keluarga terdekatnya yang sedang runtuh.

Cubaan merampas kemenangan di ambang kekalahan sememangnya kerja biasa Najib dan BN. Seperti kempen pilihan raya, mereka menulis naratif mereka sendiri, percaya akan naratif itu dan meyakinkan diri mereka sendiri bahawa orang lain pun berfikiran seperti mereka.

Satu lagi masalah besar muslihat Najib di belakang tabir ialah Dr Mahathir tahu apa yang dibuat. Ingat, inilah orangnya yang mengetuai BN dalam banyak pilihan raya sebelum bertanding dalam PRU14 atas tiket pembangkang.

Oleh itu, beliau cukup fasih untuk memahami bagaimana pemimpin Umno dan BN berfikir dalam kalah dan menang.

Sebelum hari mengundi pun Dr Mahathir tahu dengan yakin bahawa PH akan menang pilihan raya. Kalau tidak, masalah pakatan Bersatu, PKR, DAP dan Amanah itu tidak akan jadi sasaran strategi pecah belah BN.

Melihat kepada latar ini, mereka yang faham dengan cara berfikir pemimpin PH menjangkakan pentadbiran baru ini akan melakukan siasatan yang menyeluruh ke atas salah laku dalam 1MDB.

Yang dijanjikan sebelum ini ialah membatalkan status rahsia laporan ketua audit negara serta memburu dalang di sebalik skandal yang masyhur di seluruh dunia itu.

Dr Mahathir dan PH menjadikan penyelesaian isu 1MDB sebagai mesej kempen pilihan raya mereka. Sukar untuk membayangkan perkara itu tidak dilakukan pada minggu-minggu akan datang ini.

Malah sukar juga untuk membayangkan Dr Mahathir akan berlembut terhadap bekas anak didiknya, apatah lagi melihat kepada usaha terakhir mahu merampas pilihan raya itu. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen