TULANG belakang Pakatan Harapan yang memastikan semua kempennya berjaya meraih perhatian rakyat adalah Media Oren.
Mereka inilah yang bertanggungjawab melakukan promosi, membuat siaran langsung dan hebahan kejayaan program sehingga menjadi titik mula sebaran gelombang kebangkitan rakyat Malaysia.
Kerja Media Oren mula menampakkan kejayaan bermula dengan program Jelajah Pakatan Harapan di seluruh negara lagi apabila program awal di Alor Setar dan Utan Aji, Perlis dibuat pada penghujung Mac.
“Mula-mula kami sebarkan sebanyak mungkin jemputan Tun Dr Mahathir (Pengerusi PH) sendiri kepada penduduk di kawasan yang terlibat agar datang ke program ini melalui media sosial.
“Sasaran kami adalah mempastikan program ini mendapat sambutan dahulu.
“Selepas orang ramai datang memenuhi majlis, kami sebarkan pula kejayaan itu.
“Dari situlah gelombang dibentuk,” kata Helmi Radzuan, salah seorang pengarah Media Oren.
Menurut Helmi, antara kejayaan terbesar adalah Jelajah PH di Melaka apabila sebaran jemputan berjaya menyebabkan seluruh Melaka sesak pada malam itu.
“Ia ditambah dengan kehadiran tokoh-tokoh baru, Rafidah dan Tun Daim malam itu.
“Ia menyebabkan gelombang merebak ke seluruh Melaka, negeri yang kecil dan tiada kampung terpencil berbanding Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis yang masih banyak kampung terpencil yang tidak sampai gelombang ini,” katanya.
Media Oren mempunyai lima kakitangan sepenuh masa di samping sukarelawan seperti Helmi dan 200 orang lagi di seluruh negara. – 11 Mei, 2018.
Komen