PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu berkemungkinan besar akan dilantik sebagai menteri dalam negeri dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad, kata sumber Pakatan Harapan (PH).
Sumber berkata, Dr Mahathir mahu Mohamad yang merupakan orang kanannya dalam PH diletakkan dalam kedudukan yang dapat bekerjasama dengan perdana menteri.
“Mat Sabu merupakan antara orang kepercayaan Dr Mahathir dalam PH.
“Dengan kedudukannya sebagai menteri dalam negeri, Mat Sabu mampu membantu melancarkan pentadbiran PH pimpinan Dr Mahathir,” kata sumber kepada Malaysia Decides dengan syarat tidak dinamakan.
Semalam, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia.
Pada sidang media selepas mengangkat sumpah Dr Mahathir berkata, Majlis Presiden PH akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan senarai menteri Kabinet.
Bekas perdana menteri, Najib Razak dalam tulisannya di Twitter semalam mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir yang baru dilantik sebagai perdana menteri.
“Baru mengucap tahniah kpd Tun Mahathir diatas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang ke7.
“Saya sanggup membantu peralihan kuasa yang lancar,” katanya.
Pada PRU14 PH diumumkan menang 122 kerusi bersama Warisan dan Star di Sabah.
Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib tewas apabila hanya mendapat 79 kerusi Parlimen. PAS mendapat 18 kerusi sementara 3 kerusi dimenangi calon Bebas. – 11 Mei, 2018.
Komen