Shafie kata kerajaan Sabah Musa tak akan bertahan lama


The Malaysian Insight

PRESIDEN Parti Warisan Sabah Shafie Apdal tidak mahu mengaku kalah dan meramalkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinan Musa Aman tidak akan bertahan lama.

Selepas keputusan pilihan raya yang menyaksikan kedua-dua gabungan Warisan-Pakatan Harapan (PH) serta BN mendapat 29 kerusi, Shafie menegaskan mereka akan membantah bersama rakyat Sabah yang lain.

“Kerajaan (negeri) ini tidak dapat dikekalkan. Saya amat pasti apa yang berlaku di Sabah kerana saya pernah mengalaminya,” kata Shafie awal pagi ini di kediamannya di Kota Kinabalu.

Shafie akan mengumumkan langkah seterusnya hari ini selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya.

Shafie mendakwa banyak penipuan berlaku sehingga menyebabkan Warisan kehilangan banyak kerusi walaupun selepas kiraan ejen mereka di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) disebabkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu menandatangani Borang 14 - yang mengesahkan jumlah undi yang diterima sebelum dibawa ke pusat penjumlahan undi.

“Sudah tentu saya tidak akan mengalah bila keadaan berlaku seperti yang anda tahu. Borang 14 tidak mahu ditandatangani mereka (SPR). 

“Daripada kiraan PDM kita menang awal, tapi kadang-kadang undi Pos tiba-tiba datang,” katanya yang mendakwa Warisan sepatutnya memenangi 35 kerusi sebelum beberapa kiraan semula dilakukan di beberapa kerusi negeri dan Parlimen Sabah.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Juhar Mahiruddin pada jam 11.06 malam tadi untuk kali keempat sejak 2003.

Dua wakil Parti Solidariti Tanah Airku (Star) mengumumkan untuk bergabung bersama BN dalam sidang media khas di kediaman rasmi ketua menteri Sabah di Sri Gaya semalam.

Kemasukan wakil Star, dengan presidennya, Jeffrey Kitingan dan Robert Tawik membolehkan BN mendapat majoriti minimum 31 daripada 60 Adun untuk membentuk kerajaan negeri.

Pagi semalam, kebimbangan timbul selepas Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau memutuskan untuk meninggalkan BN dan menyokong Warisan dengan harapan 5 Adunnya akan mematuhi arahan parti.

Bagaimanapun, 5 adun Upko itu –  Masiung Banah, Abidin Madingkir, Ewon Benedick, Bobby Suan dan Limus Jury mengingkari arahan Wilfred dan kekal bersama BN untuk menubuhkan kerajaan negeri. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen