LIMA ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Upko yang sepatutnya menyertai gabungan Warisan, PKR dan DAP bagi mendapat majoriti Adun untuk membentuk kerajaan negeri Sabah telah “diculik dan ditahan” Pengerusi BN Sabah Musa Aman, kata Presiden Warisan Shafie Apdal.
Menurut Shafie, kehadiran lima Adun itu- Masiung Banah, Abidin Madingkir, Ewon Benedick, Bobby Suan dan Limus Jury-bersama-sama Musa dan Adun BN lain di Sri Gaya sejak tengah hari semalam menunjukkan mereka dipaksa menyokong Musa
“Jadi kamu tahu benar (apa yang berlaku pada mereka) ialah ‘house arrest’ (tahanan rumah). Amat jelas. Bagaimana kamu boleh lakukan hal ini terhadap kebebasan seseorang? Jika kamu takut orang diculik, mengapa kamu menculik?
“Tapi okay lah, ia bukan perkara terbesar. Mereka sudah angkat sumpah tapi tidak akan bertahan lama,” kata beliau awal pagi tadi di Kota Kinabalu.
Shafie dan rombongan beliau cuba memasuki kawasan Istana Negeri Sabah untuk bertemu dengan Gabenor Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tetapi dihalang polis yang membuat sekatan jalan raya ke kawasan tersebut.
Pemangku Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau kemudiannya dilihat bersama-sama Shafie di kediamannya sebelum membuat pengumuman parti itu meninggalkan gabungan BN untuk menyokong Shafie.
Kelima-lima Adun tersebut bagaimanapun ditemui bersama Musa dan mengatakan persetujuan untuk bersama BN dan tidak menyokong Warisan. – 11 Mei, 2018.
Komen