Demi bela Sabah, saya tolak tawaran BN, kata Shafie


The Malaysian Insight

PRESIDEN Warisan, Shafie Apdal mengakui wujud cubaan untuk “membeli” beliau dilakukan Barisan Nasional (BN) negeri dengan pelbagai tawaran tetapi semuanya ditolak beliau.

“Pihak di sebelah sana telahpun cuba untuk menarik saya keluar dengan menawarkan pelbagai perkara termasuk jawatan. Apa perlu jawatan, saya sudah ada dulu.

“Saya telah ambil keputusan, bila saya kata untuk buat keputusan untuk tolong rakyat, saya tetap buat,” kata Shafie ketika ditemui di kediamannya awal pagi tadi.

Beliau turut mendedahkan, beberapa orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Warisan juga ditawarkan tawaran serupa tetapi tidak berjaya kerana kesatuan yang tinggi dalam kalangan ahli parti itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu tawaran tersebut.

Sebelum itu, Shafie berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta beliau menghantar akuan bersumpah semua 14 ahli Parlimen gabungan Warisan-Pakatan Harapan di Sabah untuk membuktikan mereka menyokong kepimpinan Dr Mahathir.

“Kita dah hantar sepucuk surat sebelum Tun Mahathir angkat sumpah.

“Kemudiannya dia (Dr Mahathir) suruh buat akuan bersumpah untuk buktikan Tun pilihan majoriti ahli Parlimen sebagai perdana menteri,” katanya.

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia semalam.

Di Sabah, Musa Aman daripada BN juga mengangkat sumpah semalam sebagai ketua menteri walaupun wujud penentangan di negeri itu. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen