Musa Aman umum Kabinet Sabah


The Malaysian Insight

KETUA Menteri yang baru angkat sumpah, Musa Aman mengumumkan senarai penuh kabinet negerinya, mendedahkan pelan melakukan perubahan untuk membentuk pakatan dengan parti tempatan, serta menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat persekutuan.

“Mungkin akan perubahan yang akan berlaku tetapi kami akan bincang dengan Star Sabah untuk jalankan sebaik mungkin.

“Kami juga akan menilai situasi sekarang tetapi saya percaya kami akan berhubungan dengan kerajaan persekutuan. Tetapi yang lebih penting lagi, kita perlu mengekalkan solidariti kami dan buat yang terbaik untuk negeri,” katanya kepada wartawan selepas menghabiskan masa empat jam mengangkat sumpah di Istana Negeri awal malam tadi.

Musa menamakan Hajiji Hj Noor, Masidi Manjun, dan Jeffrey Kitingan sebagai timbalan ketua menteri.

Hajiji juga dinamakan menteri pembangunan infrastruktur, Masidi sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitara manakala Jeffrey sebagai menteri industri asas tani dan makanan.

Menteri lain yang turut dilantik adalah Bolkiah Ismail (menteri pembangunan industri), Jahid Jahim ( menteri perumahan dan kerajaan tempatan), Ellron Angin (menteri pembangunan luar bandar), Masiung Banah (menteri belia dan sukan), Bobbey Suan (menteri tugas-tugas khas) dan Anita Baranting (menteri hal ehwal pengguna dan pembangunan komuniti) serta Musbah Jamli (menteri teknologi maklumat dan pembangunan sumber).

Musa juga dilantik sebagai menteri kewangan mengatakan beliau akan melantik pembantu menteri selepas ini dan mencadangkan enam ahli Dewan Undangan Negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Negeri.

“Saya akan menamakan semua timbalan menteri tidak lama lagi. Pada masa sama, saya juga akan menamakan enam ahli Dewan Undangan Negeri seperti termaktub di bawah Perkara 14 (1) (c) Perlembagaan Negeri,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik itu akan mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN hari ini. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen