PAS guna gelombang rakyat marah Najib untuk menang


The Malaysian Insight

PADA malam keputusan pengundian, ada kejutan berlaku di Malaysia apabila seorang demi seorang calon PAS menang di Terengganu dan Kelantan.

Dan apabila pengiraan siap dilakukan, parti Islam itu mendiamkan dan mengejutkan pengkritik apabila berjaya mempertahankan Kelantan, merampas Terengganu dan menang di 18 kerusi Parlimen di dua negeri itu dan Kedah.

Andaian awal mencadangkan tindakannya menjauhkan diri daripada gabungan pembangkang dan bertempur sendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon PAS akan tumpas dalam pertandingan tiga penjuru di seluruh Semenanjung. Ia berdasarkan andaian yang PAS hanya meraih sokongan ahli dan pengikutnya, maka calonnya akan dikalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan  (PH) yang mempunyai lebih ramai penyokong terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

Tetapi, apa yang tidak dijangka ramai orang adalah PAS juga menerima manfaat daripada kemarahan rakyat terhadap Najib Razak dan BN berkaitan peningkatan kos sara hidup dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mereka juga berupaya mengambil kesempatan atas kelemahan BN dan PH di kedua-dua negeri kubu kuat mereka itu.

Penganalisis Hisommudin Bakar mengatakan undi BN pecah di kedua negeri itu apabila sebilangan ahli dan penyokong parti Islam itu memberikan undi kepada sesiapa sahaja asalkan bukan BN. Dengan jentera kukuh, jenama dan kualiti calon, PAS berjaya meraih undi protes.

“Apabila orang setempat marah kepada GST, mereka meninggalkan BN dan mengundi PAS. Pakatan tidak cukup kuat untuk mendapat manfaat daripada pergerakan asalkan bukan BN ini,” tambahnya.

Di kerusi campuran yang mempunyai pengundi bukan Melayu yang tinggi di negeri Pantai Timur, prestasi PAS lemah. Di kerusi-kerusi ini, calon PH menerima manfaat daripada sentimen anti BN.

Tetapi di negeri kubu kuat Melayu dan konservatif seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, undi pengundi anti PAS diberikan kepada PAS.

Sehari sebelum hari pengundian 9 Mei, semua jalan ke Kelantan penuh sesak dengan kenderaan apabila pengundi pulang ke kampung untuk mengundi. Ramai yang mengibarkan bendera parti politik.

Bendera yang paling banyak dikibarkan kenderaan yang pulang ke negeri Pantai Timur itu menurut Nik Kamil, seorang pegawai kanan kerajaan negeri, adalah PAS.

Sokongan pengundi yang menentap di luar negeri dan yang mengubah undi mereka di Pantai Timur membantu PAS meraih kejayaan pada PRU14, kata ahli politik dan pengundi tempatan.

Selain itu, kejayaan PAS di Kelantan dan Terengganu juga didorong oleh tindakan BN dan PH yang meletakkan calon tidak dikenali atau mempunyai reputasi yang meragukan.

“Di Terengganu, BN bertanding seperti mahu kalah,” ulas Ketua PH Terengganu Raja Kamarul Bahrain mengenai calon BN.

“Lapan calon mereka tidak dikenali dan hanya ada sijil SPM. Mereka juga tidak popular dalam Umno,” kata Raja Kamarul yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganunya.

Di Kelantan, calon PH yang terdiri daripada ahli perniagaan berjaya dan penjawat awam Kelantan yang berpengaruh juga menimbulkan masalah kepercayaan seterusnya gagal meraih kepercayaan orang tempatan, kata Nik Kamil lagi.

“Mereka tidak dipercayai. Orang Kelantan tak hanya tengok parti politik, mereka tengok kualiti calon. Dan kualitinya rendah,” kata Nik Kamil yang pernah berkhidmat di bawah tiga pentadbiran PAS.

Walaupun PH meletakkan Nik Omar Nik Aziz dalam usaha mengembalikan nostalgia imej unggul ayahnya, Nik Aziz Nik Mat, ia masih tidak mencukupi. Nik Omar digambarkan sebagai pengkhianat ayahnya.

“Nik Omar mungkin sama macam ayahnya. Tetapi untuk orang Kelantan, Nik Aziz adalah PAS dan PAS adalah Nik Aziz,” katanya.

Di Terengganu, PH tidak dapat menghapuskan ketakutan pengundi terhadap DAP, kata Raja Kamarul.

“Dalam dialog kami dengan pengundi, mereka terima semua cadangan dasar dan hujah kami. Tetapi bila sampai kepada DAP, mereka tak boleh mempercayai kami,” kata Raja Kamarul menambah yang orang tempatan bimbang PH akan dikawal oleh orang Cina dalam DAP.

Sentimen itu terus berlanjutan walaupun Dr Mahathir Mohamad yang dikenali ramai pembela hak Melayu ketika menjadi perdana menteri sebelum ini, diumumkan sebagai calon perdana menteri PH.

Semua yang berlaku pada PRU14 menunjukkan yang penyokong tegar terus kekal menyokong parti mereka tetapi pengundi atas pagar dan pengundi yang mengubah undi mereka memberikan kepercayaan kepada parti paling dikenali di negeri masing-masing.

Disebabkan itulah, di Kelantan, Terengganu dan juga sebilangan tempat di Kedah, parti paling dikenali itu adalah PAS. – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen