Lagenda Umno 'berani' sokong Pakatan, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada bekas pemimpin yang cukup berani berkempen bersamanya dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, bekas menteri Umno seperti Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rais Yatim memiliki ‘keberanian’ untuk berkempen menentang Barisan Nasional.

“Beliau (Rafidah) keluar dan bantu kita sedaya upaya. Ini amat membantu.

“Begitu juga Daim dan Rais dan yang lain-lain. Saya berharap lebih ramai lagi yang berani tampil. Keberanian adalah komoditi yang semakin berkurangan di negara ini,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas upacara mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh.

Pengerusi PH itu juga turut berterima kasih kepada pengundi yang keluar memberi sokongan padu dan mengundi pakatan walaupun banyak kekangan yang mereka terima.

“Saya rasa kita sudah lakukan yang terbaik. Jumlah hadirin tidak pernah dilihat dalam sejarah politik.”

Dr Mahathir menambah, PH berikrar untuk membentuk pentadbiran yang baik dan akan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berjanji akan menubuhkan kerajaan yang baik. Kerajaan berlandaskan perlembagaan persekutuan dan undang-undang negara.” – 11 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen