SELEPAS beberapa jam mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan di bawah pentadbirannya tidak teragak-agak untuk melucutkan pegawai tertinggi dalam agensi kerajaan yang korup.
Perdana menteri berusia 92 tahun itu berkata, proses itu akan dilakukan melalui rombakan.
“Ya, beberapa pegawai tertinggi akan dilucutkan. Kita dapati sesetengah pihak pernah bersubahat dengan (bekas) perdana menteri kleptokrat,” katanya pada sidang media di Hotel Sheraton, Petaling Jaya hari ini.
Terdahulu hari ini, pengerusi PH itu tiba di Istana Negara hari ini untuk menghadap sembah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan kemudian baginda menyempurnakan angkat sumpah pada malam ini.
Majlis angkat sumpah dijalankan selepas PH memaklumkan kepada istana bahawa beliau merupakan pilihan sebagai perdana menteri.
Rakyat Malaysia semalam telah mengundi untuk memilih Pakatan Harapan dan menolak pemerintahan kerajaan BN yang telah mentadbir negara selama 61 tahun sejak kemerdekaan. – 10 Mei, 2018.
Komen