PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berjanji akan hapuskan istilah “cash is king” dalam pentabirannya sepertimana yang diamalkan oleh pentadbiran mantannya, Najib Razak sebelum ini.
Beliau yang berusia 92 tahun itu sebaliknya menumpukan kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata dua perkara utama yang menjadi perhatiannya adalah untuk fokus kepada isu kewangan dan isu pengurusan kewangan di dalam negara.
“Kami akan hapuskan istilah “cash is king”. Kita perlukan duit tetapi ia bukanlah raja. Kita ingin beritahu pelabur-pelabur bahawa mereka boleh naikkan saham di pasaran saham.
“Kita juga di peringkat kerajaan akan menjaga nilai ringgit. Kita akan pastikan nilai ringgit tidak terlalu rendah,” katanya dalam sidang media pertama sebagai perdana menteri di Hotel Sheraton, hari ini.
Beliau yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun sebelum ini berkata, bagi mengukuh dan menambahbaik ekonomi negara, beliau sedia bekerjasama dengan negara-negara lain untuk memastikan perdagangan asing di dalam negara terus berkembang.
“Saya boleh cuba sebab saya ada pengalaman selama 22 tahun sebagai perdana menteri sejak 1981, ketika kita alami krisis.
“Kita ada pemikiran dalam kerajaan ini, yang mana kita yakin mampu selesaikan masalah ekonomi yang dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir turut menyatakan barisan kabinet baharu kerajaan akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden Pakatan Haraoan yang akan diadakan esok.
Malaysia yang pernah digelar “Asean Tiger” sewaktu pentadbirannya berkata beliau ingin mahu menyemak semula jumlah hutang negara yang terpaksa ditanggung sebanyak RM800 bilion, menurut parti lawannya - Barisan Nasional. – 10 Mei, 2018.
Komen