BARISAN Nasional mendakwa telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Perak, walaupun terdahulu PAS menyatakan masih belum menentukan sama ada mahu membentuk kerajaan dengan BN atau PH.
“BN telah mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan Perak.
“Saya akan mengadap Sultan Perak untuk memaklumkan baginda perkembangan terbaru ini dan meminta oerkenan baginda untuk membentuk kerajaan negeri ke 14 mengikut perlembagaan Perak,” kata wakil menteri besar sementara Perak Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan yang dibaca di Hotel Impiana.
Ketua komunikasi menteri besar sementara Nizamuddin Mat Isa bagaimanapun tidak membenarkan sebarang soalan daripada media.
Kenyataan itu juga tidak menyebut bagaimana BN mendapatkan majoriti mudah: sama ada ia membentuk kerjasama dengan PAS, atau terdapat pengkhianatan daripada PH atau PAS.
Zambry dan mana-mana Adun daripada PH atau PAS tidak hadir pada sidang media berkenaan.
Pakatan Harapan memenangi 29 kerusi, BN 27 kerusi dan PAS tiga kerusi di Perak.
BN memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah dalam 59 kerusi DUN di Perak.
Terdahulu Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata hari ini, pihaknya perlu mengadakan pertemuan denan pimpinan pusat esok bagi membinacangkan perkara itu. – 10 Mei, 2018.
Komen