KERAJAAN Pakatan Harapan akan mendapatkan semula wang yang hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dalam usaha untuk mengurangkan hutang negara, wang yang hilang perlu diperoleh semula termasuk daripada ahli perniagaan Low Taek Jho.
“Kami percaya boleh daatkan semula wang 1MDB. Di Amerika, Singapura, Switzerland dan dnegan Jho Low,” katanya pada sidang media pertama sebagai perdana menteri selepas upacara mengangkat sumpah.
“Kita perlu kurangkan hutang dan beri tekanan kepada beberapa individu di mana wang itu berada,” tambah Dr Mahathir.
Beliau menjelaskan jumlah hutang negara yang dilaporkan adalah RM80 bilion tetapi menurutnya terdapat juga “jumlah tersembunyi”.
“Kita berdepan masalah kewangan yang membimbangkan. Jumlah keseluruhan hutang kerajaan dengan bank dan pemberi hutang lain adalah RM800 bilion.
“Terdapat juga jumlah tersembunyi di situ. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kita berhutang RM1 trilion,” katanya. – 10 Mei, 2018.
Komen