PAS masih berunding dengan BN, PH untuk bentuk kerajaan di Perak 


The Malaysian Insight

PEMIMPIN PAS di Perak mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan wakil Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bagi membincangkan kemungkinan membentuk kerajaan pakatan dengan salah satu daripadanya.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata, parti itu menyasarkan untuk memuktamadkan perbincangan dan membentuk kerajaan negeri dalam tempoh seminggu.

“PH tidak boleh membentuk kerajaannya sendiri. BN juga. Jadi kita adalah kingmaker.

“Asas kepada sebarang kerjasama ialah matlamat PAS tidak boleh dihalang, seperti ussaha kita untuk enakmen RUU355,” katanya merujuk kepada Akta Mahkamah Syariah (Kanun Jenayah) 1965.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 semalam, PH memenangi 29 kerusi di Perak, BN (27) dan PAS (3). Bagi membentuk kerajaan negeri, majoriti mudah 30 kerusi perlu dicapai.

Razman berkata, ianya jelas bahawa komponen PH, DAP menentang PAS untuk membawa enakmen RUU355, dan “halangan itu satu penghinaan”.

Katanya PAS juga turut mengambil isu pengagihan tanah yang tidak adil, kronisme, penswastaan perkhidmatan awam serta monopoli pengurusan mereka, yang merupakan masalah biasa di negeri yang ditadbir BN.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut pakatan yang berkaitan dengan masalah berkenaan.

Ini merupakan antara isu utama yang diambil kira oleh PAS dalam menetapkan syarat untuk kerjasama dengan mana-mana pihak antara BN dan PH.

Razman berkata satu pertemuan akan diadakan esok dengan pimpinan PAS.

Sementara itu, naib presiden PAS Idris Ahmad menafikan khabar angin bahawa parti itu telah mencapai persetujuan dengan BN untuk membentuk kerajaan di Perak.

Menteri besar sementara Zambry Abd Kadir sepatutnya mengadakan sidang media hari ini, namun ia tidak berlaku.

Pimpinan PH di negeri itu masih menutup mulut sejak mengumumkan malam tadi bahawa mereka akan mendapatkan nasihat sultan berhubung perkara itu. – 10 Mei, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen