KETIKA pengerusi Pakatan Harapan akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh di Istana Negara malam ini, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang keluar meraikan detik bersejarah ini di Kuala Lumpur.
Ratusan orang dilihat membanjiri sepanjang Jalan Sultan Abdul Halim yang merupakan laluan kepada pintau masuk ketiga istana sejak jam 6 petang.
Suasana meriah apabila orang ramai berkumpul mengibarkan bendera PKR dan melaungkan ‘Hidup Pakatan’ dan ‘Hidup Tun’.
300 orang lagi berkumpul di Pintu Dua, menunggu Dr Mahathir meninggalkan istana sebagai perdana menteri.
“Saya hadir untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan baharu dan perdana menteri baharu kita Dr Mahathir, mereka boleh selamatkan negara ketika ramai yang menderita sekarang ini.
“Jadi kita harapkan kepada mereka untuk bangkitkan Malaysia semula dan kembalikan zaman kegemilangan negara,” kata Sia Chay Ming, 55 dari Pandan Perdana.
Tidak seprti perhimpunan yang dianjurkan parti politik, perhimpunan kali ini dihadiri oleh rakyat Malaysia biasa yang terlalu gembira dengan kejayaan PH.
Mereka juga lantang menyatakan kemarahan terhadap bekas perdana menteri dengan melaungkan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”.
“Bagi saya ini merupakan detik bersejarah kepada negara kita, ia menunjukkan negara ini tidak takut dengan perubahan,” kata Azlin, 25.
Bagi adik beradik, Sonia Kaur Randhawa dan Sirveen Randhawa, mereka sungguh gembira melihat rakyat sama-sama berkumpul dan bersatu untuk melihat perubahan kerajaan.
“60 tahun adalah terlalu lama. Ini akan menjadi perkara yang baik di Malaysia dan untuk pilihan raya ini, Dr Mahathir perlu jadi perdana menteri,” kata Sonia, 36.
Katanya, beliau tidak melihat kejayaan PH namun beliau yakin dan kini masih lagi tidak percaya ia sebenarnya berlaku.
“Ini merupakan perkara terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Sirveen berkata kerjasama pemimpin pakatan akan membawa banyak perubahan kepada negara.
“Mereka daripada pembangkang jadi mereka sedar perkara yang perlu diubah.
“Dan mereka tahu mereka menjadi tumpuan, kali ini ia mesti jadikan Malaysia berjaya ke arah wawasan 2020,” katanya. – 10 Mei, 2018.
Komen