DR Mahathir Mohamad mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh di Istana Negara, malam ini.
Istiadat angkat sumpah itu disempurnakan di hadapan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan dihadiri pemimpin kanan Pakatan Harapan.
Sebelum mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia, Dr Mahathir menerima suratcara perlantikan jawatan daripada Seri Paduka.
Pada umurnya 93 tahun, Dr Mahathir adalah ketua kerajaan paling tua di dunia dan pemimpin yang kembali jadi perdana menteri selepas bersara.
Dr Mahathir, yang diiringi isteri Siti Hasmah Mohd Ali, jadi perdana menteri untuk kali kedua, selepas kali pertama pada 1981.
Selepas 22 tahun menguruskan Malaysia, Dr Mahathir meletakkan jawatan pada 2003.
Beliau kembali aktif secara langsung dalam politik pada 2015 dengan kempennya menuntut bekas perdana menteri Najib Razak bertanggungjawab atas skandal 1MDB.
Kemuncaknya, Dr Mahathir keluar Umno dan menubuhkan Bersatu, sebelum bergabung dengan Pakatan Harapan bersama PKR, DAP dan Amanah.
Gabungan itu pada 7 Januari lalu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menterinya kalau menang PRU14.
Ratusan penyokong berhimpun di perkarangan Istana Negara semasa ketibaan Dr Mahathir.
Kenderaan yang turut membawa isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, disambut dengan sorakan daripada orang ramai yang berada di sepanjang jalan ke Istana Negara.
Ketika upacara angkat sumpah berlangsung, orang ramai di luar Istana Negara semakin bertambah kepada kira-kira 500 orang. – 10 Mei, 2018.
Komen