SETIAUSAHA Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah dilantik sebagai menteri besar Terengganu yang baru dan mengangkat sumpah jawatan malam ini.
Jurutera kapal terbang itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada jam 9.00 malam ini di depan Sultan Terengganu,Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Samsuri yang juga pengarah pilihan raya PAS turut menamakan 10 barisan exconya yang terdiri daripada pemimpin kanan PAS Terengganu.
Mereka adalah Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr Alias Razak (Bukit Tunggal), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong), Ariffin Deraman (Alor Limbat).
Turut mengangkat sumpah adalah Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Tengku Hassan Omar (Ladang), Hanafiah Mat (Cukai), Dr Azman Ibrahim (Jabi), Dr Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).
PAS telah memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam pilihan raya kali ini manakala BN 10.
Siang tadi, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Hussein Awang berkata, menteri besar dan exco akan mula memasuki pejabat mereka di Wisma Darul Iman Isnin ini.
Satu majlis serah tugas antara menteri besar lama, Mohamad Razif Abdul Rahman kepada menteri besar baru Dr Samsuri akan diadakan hari Isnin ini. – 10 Mei, 2018.
Komen