Parti India pro-Perikatan mungkin tidak tanding PRK KKB, kata presidennya


Ravin Palanisamy

Presiden MIPP Punithan Paramsiven berkata parti itu mungkin tidak akan bertanding pilihan raya kali pertama menerusi PRK KKB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

PARTI Rakyat India Malaysia (MIPP) membayangkan ia akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN) pada Piliha Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) dan tidak akan menuntut kerusi itu untuk parti berkenaan.

Presidennya, Punithan Paramsiven berkata parti itu mungkin tidak akan bertanding kali pertama menerusi PRK itu.

Walaupun parti belum lagi diterima menyertai gabungan itu, Punithan berkata sokongan kepada calon PN itu adalah tanda kesetiaan MIPP.

“Siapa pun calon PN di KKB, kami akan berikan sokongan penuh dan bekerja keras memastikan gabungan itu mendapat sokongan kaum India.

“Kami sokong PN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Punithan berkata pemimpin PN akan mengadakan mesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri untuk membincangkan calon berpotensi untuk KKB.

Terdahulu, sebuah kumpulan India menggesa PN untuk menamakan calon India pada PRK KKB akan datang.

Pengerusi Interim Urimai dan juga bekas timbalan ketua pulau pinang II P Ramasamy berkata pengundi India dijangka menjadi penentu pada PRK itu, oleh itu PN sepatutnya mengambil kesempatan atas keadaan itu.

PRK KKB diadakan susulan kematian Adun Lee Kee Hiong pada 21 Mac. Lee daripada DAP/Pakatan Harapan adalah wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi, sementara penamaan calon pada 27 April.

Berkenaan perkembangan untuk diterima masuk ke PN, Punthan berkata parti itu hadir beberapa mesyuarat dengan pemimpin PN dan mereka sedang menunggu pengumuman rasmi tidak lama lagi.

Janji palsu

Sementara itu, bekas menteri P Waytha Moorthy menggesa pengundi kaum India di KKB jangan terpedaya dengan janji palsu mana-mana gabungan.

Waytha yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia yang juga parti berasaskan kaum India, berkata pada masa ini, apa yang amat diperlukan adalah pemimpin berbangsa India yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

“Apa yang mereka mahu adalah terus menggunakan kaum India sebagai buruh murah dan bank undi percuma bagi memenuhi agenda politik mereka.

“Mereka hanya nampak orang India ketika musim pilihan raya dan selepas itu dilupakan,” katanya.

Waytha menggesa masyarakat India di KKB untuk menghantar mesej jelas kepada PH dan PN yang jangan anggap mudah dengan kuasa undi mereka. – 22 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen