Penjelajahan baharu O&G di Pulau Pinang ancaman kepada biodiversiti, nelayan


Petronas pada November umum kaji selidik seismik 2D berbilang pelanggan luar pesisir di kawasan utara Selat Melaka dan lembangan Langkasuka. – Gambar fail Petronas, 22 April, 2024.

AKTIVIS alam sekitar memberi amaran projek penjelasan cari gali minyak (O&G) terbaru Petronas di lembangan Langkasuka, kira-kira 30km dari Pulau Pinang, membawa ancaman kepada biodiversiti hidupan laut, kehidupan masyarakat nelayan dan pelancongan tempatan.

Greenpeace dan Rimba Watch dalam satu kenyataan bersama projek itu juga tidak selari dengan sains iklim dan menjejaskan tanggungjawab mitigasi Malaysia.

Projek penjelajahan baharu itu diumumkan oleh Petronas pada November lalu, berkata ia akan melancarkan kaji selidik seismik 2D berbilang pelanggan luar pesisir di kawasan utara Selat Melaka untuk meneroka dan memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 lembangan Langkasuka.

Syarikat minyak nasional itu berkata kaji selidik yang sedang dijalankan itu dimulakan pada Oktober 2023 dan dijangka tamat pada akhir Disember tahun ini.

Greenpeace dan Rimba Watch berkata lembangan Langkasuka hanya sejauh 30km dari Pulau Pinang dan 20km dari Langkawi – kedua-duanya lokasi pelancongan popular, menyebabkan kedua-dua negeri itu berdepan risiko tumpahan minyak.

Kumpulan itu berkata Malaysia mengalami 130 kes tumpahan minyak, dengan purata sekurang-kurangnya 14 tumpahan minyak setahun dari 2014 hingga 2022, berdasarkan laporan daripada Jabatan Alam Sekitar.

“Kekerapan insiden itu berlaku adalah akibat daripada aktiviti penjelajahan dan pengekstrakan di lembangan Langkasuka dan ia menjejaskan biodiversiti hidupan laun, pendapatan masyarakat nelayan dan ekonomi pelancongan.

“Laporan menunjukkan tumpahan minyak boleh kekal di situ bertahun-tahun lamanya dan menjejaskan alam sekitar hidupan laut, menyebabkan kesan jangka panjang kepada biodiversiti laut,” kata mereka, menambah tempoh pemulihan ekosistem laut yang terjejas akibat tumpahan minyak boleh mencecah lebih 10 tahun bagi paya bakau dan 30 tahun untuk terumbu karang.

Greenpeace dan Rimba Watch berkata akibat daripada insiden tumpahan minyak sebelum ini, masyarakat nelayan mengalami kerugian bagi pendapatan mingguan mereka, malah peralatan menangkap ikan mereka juga rosak.

Insiden tumpahan minyak di Tanjung Balau, Johor menyebabkan masyarakat nelayan kerugian pendapatan mingguan antara RM400-RM500 dan kerosakan jaring mencecah RM8,000, kata mereka.

Greenpeace dan Rimba Watch berkata jika dasar iklim sedia ada tidak berubah, termasuk dasar berkaitan penggunaan gas sebagai bahan api peralihan, kita meramalkan panas 3.2°C menjelang 2100, iaitu dua kali ganda daripada sasaran 1.5°C.

“Ini akan menyebabkan bencana iklim dan skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini, termasuk suhu yang tidak sesuai untuk hidupan, bandar utama ditenggelami air, kekurangan bekalan air berleluasa dan pupusnya jutaan spesis flora dan fauna.”

Dua kumpulan pemantau alam sekitar itu turut berkata Petronas tidak ada strategi penyahkarbon yang meyakinkan.

“Malah, strategi peralihan dan penyahkarbon Petronas tidak mencapai piawai garis panduan antarabangsa,” kata mereka. – 22 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen