MIC akan bantu kempen PRK Kuala Kubu Bharu, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa MIC tidak akan membantu kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2024.

PRESIDEN MIC memaklumkan parti itu akan turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau menafikan laporan sebelum ini bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak akan turun berkempen di Kuala Kubu Bharu sekiranya gabungan itu tidak bertanding di kerusi tersebut.

“Tak betul, Presiden MIC ( SA Vigneswaran) menghubungi saya samalam.

“Dia akan pergi (Kuala Kubu Bharu) esok… Isnin. You dengar daripada siapa?” katanya dipetik Malaysiakini.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya media selepas berucap merasmikan konvensyen khas PKR sempena sambutan ke-25 tahun parti itu di Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas tentang pengumuman MCA semalam, bahawa parti itu tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu jika calon BN tidak diletakkan bertanding di kerusi DUN itu.

“Susulan perbincangan, mesyuarat sebulat suara memutuskan jika calon bukan daripada BN, MCA tidak akan membantu sebarang kempen,” kata parti itu dalam kenyataan semalam.

Kerusi Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya dari DAP Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser. – 21 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen