PRK KKB ujian litmus untuk kerajaan Anwar, kata Sivarraajh


Ravin Palanisamy

Bekas ketua pemuda MIC Sivarraajh Chandran berkata PRK KKB akan menjadi ujian litmus untuk kerajaan perpaduan sama ada mereka berjaya mengekalkan sokongan pengundi India dan menikmati perubahan sokongan pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2024.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan menjadi ujian litmus untuk kerajaan perpaduan sama ada mereka berjaya mengekalkan sokongan pengundi India dan menikmati perubahan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu, kata Bekas ketua pemuda MIC Sivarraajh Chandran.

“Orang India dikatakan sebagai ‘king maker’ di DUN ini dan agak menarik untuk melihat jika kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim terus mendapat sokongan mereka,” kata Sivarraajh kepada The Malaysian Insight.

Sokongan kaum India dikatakan dipindahkan daripada Pakatan Harapan dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan kekecewaan dengan kegagalan kerajaan menangani masalah masyarakat.

Sivarraajh yang juga senator berkata ia adalah sesuatu yang menarik untuk melihat sama ada Anwar juga berjaya menawan sokongan orang Melayu.

Beliau berkata sejak menjadi perdana menteri Anwar berusaha keras untuk memenangi sokongan orang Melayu.

“Kita boleh lihat usaha beliau dalam menangani pelbagai isu Islamofobia dan juga pendirian tegas beliau dalam mempertahankan Palestin.

“Jadi kita boleh lihat sama ada ini memberi dividen dan jika Anwar boleh meraih sokongan orang Melayu,” katanya.

Sokongan orang Melayu beralih kepada Perikatan Nasional seperti yang dilihat pada pilihan raya umum lalu dan pilihan raya enam negeri tahun lepas.

Kerusi KKB di Selangor kosong berikutan kematian Adun DAP tiga penggalnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bertarung dengan kanser.

Hari mengundi akan diadakan pada pada 11 Mei manakala penamaan calon pada 27 April dan pengundian awal 7 Mei.

Kawasan KKB mempunyai pengundi campuran terdiri daripada 50% Melayu, 30% Cina dan 18% India.

Mengikut daftar pemilih, terdapat lebih 40,000 pemilih berdaftar di KKB.

Ujian untuk PN

KKB akan menjadi PRK ketujuh yang akan diadakan selepas pilihan raya umum 2022.

PRK diadakan bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Kemaman dan Pulai serta DUN Simpang Jeram, Pelangai dan Jepak.

Daripada enam PRK itu parti gabungan kerajaan perpaduan memenangi kerusi DUN Pulai, Simpang Jeram, Pelangai dan Jepak manakala dua lagi kerusi dimenangi oleh PN.

Sivarraajh yang juga bekas naib presiden MIC parti India tertua di Malaysia menambah PRK KKB juga akan menjadi ujian untuk PN dalam meraih sokongan bukan Melayu.

“Tidak semestinya pengundi akan membuang undi kepada pembangkang jika mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada.

“PN juga mesti menunjukkan ia boleh memenangi undi bukan Melayu melalui usaha mereka dan bukan hanya bergantung kepada ketidakpuasan hati pengundi terhadap kerajaan,” katanya.

Sivarraajh berkata sekiranya calon bebas bukan Melayu memutuskan untuk bertanding di KKB ini akan memecahbelahkan lagi undi.

“Mungkin ada pengundi yang tidak berpuas hati dengan kerajaan dan pembangkang, jadi mereka mungkin membuang undi untuk calon bebas.

“Terdapat segala kemungkinan untuk ia berlaku,” katanya.

Terdahulu Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar memberitahu The Malaysian Insight peratusan keluar mengundi yang rendah atau peralihan dalam undi bukan Melayu boleh menyebabkan kekecewaan kepada gabungan kerajaan perpaduan manakala trend pengundi Melayu yang menyokong PN boleh mengukuhkan peluang mereka untuk menawan kerusi itu.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen