Bekas KPN Hanif Omar meninggal dunia


Bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 85 tahun. – Gambar PDRM, 20 April, 2024.

BEKAS ketua polis negara (KPN) Tun Hanif Omar meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 85 tahun.

Menerusi kiriman di Facebook, anak lelakinya, Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff berkata bapanya, antara pegawai polis kanan paling lama berkhidmat di negara ini, meninggal dunia.

“Dengan perasaan amat dukacita. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.

“Saya, Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff, ingin memaklumkan pemergian pulang ke rahmatullah ayahanda kami yang dikasihi, sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,” katanya.

Allahyarham dilantik sebagai KPN pada 8 Jun, 1974 susulan pembunuhan Abdul Rahman Hashim yang akibat serangan komunis. Beliau bersara pada Januari 1994.

Dilahirkan di Teluk Intan, Perak, Haniff menjadi ketua polis Melaka pada 7 September, 1970 dan ketua polis Selangor pada 6 Disember, 1971.

Pada 1 Februari, 1973 allahyarham dilantik sebagai timbalan KPN.

Selepas persaraan allahyarham dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM pada 2004-2005. – 20 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen