PENGERUSI Sabah, Musa Aman dijadualkan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah malam ini selepas mendapat majoriti mudah.
BN diketuai Musa menang 29 kerusi negeri semalam, sama dengan gabungan Warisan-PH, sementara parti Suara Tanah Air (Star) memenangi baki dua lagi kerusi.
Pagi tadi, Pengerusi Warisan Shafie Apdal bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) Warisan, PKR, DAP dan dua dari Star termasuk presidennya Jeffrey Kitingan berkejar ke Istana Negeri Sabah untuk mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Bagaimanapun, sepasukan polis membuat sekatan laluan ke Jalan masuk ke Istana dan mengarahkan rombongan itu berpatah balik kira-kira jam 11 pagi.
Kedua-dua ADUN Star itu hilang dan dilaporkan tidak dapat dihubungi sebelum muncul bersama Musa di kediaman rasmi KM Sabah di Sri Gaya kira-kira jam 2 petang.
Lebih kurang waktu yang sama, Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau turut membuat sidang media menyatakan parti itu keluar daripada BN untuk bekerjasama dengan Warisan-PH.
Bagaimanapun lima ADUN UPKO muncul pula bersama Musa dan menafikan sokongan terhadap Shafie dan Warisan.
Pada masa sama menerusi laman Facebook Gabungan Sabah, Jeffrey menyatakan sokongan Star terhadap Musa bersyarat iaitu semua ADUN Umno-BN akan meninggalkan parti semenanjung itu untuk bersama gabungan Sabah.
“Saya telah berbincang dengan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, untuk mencari penyelesaian politik yang terbaik untuk kebaikan rakyat Sabah.
“Dan persetujuannya ialah Gabungan Sabah dan semua calon-calon DUN BN yang menang akan membentuk gabungan parti-parti tempatan (Sabah) yang baru,” kata Jeffrey seperti dilaporkan laman itu.
BN Sabah merupakan gabungan tujuh parti dengan empat daripadanya merupakan parti tempatan iaitu Upko, PBS, PBRS dan LDP.
Sekiranya UPKO secara rasmi telah meninggalkan BN dan membantu Warisan, kelima-lima ADUN mereka akan diisytihar bebas dan tidak menyertai parti lain dalam BN, ia akan menjadikan Warisan-PH sebagai gabungan terbesar. – 10 Mei, 2018.
Komen