KETUA pasukan keselamatan negara dan ketua setiausaha negara akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V secepat mungkin bagi memberi taklimat berhubung proses peralihan kuasa.
Pertemuan itu perlu bagi mengelakkan spekulasi, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
“Peralihan kuasa perlu dijalankan secepat mungkin bagi mengelakkan spekulasi tidak sihat dan ia mesti dilakukan mengikut undang-undang dan perlembagaan persekutuan,” katanya.
Sumber di Putrajaya berkata pertemuan antara pemimpin kanan dan Yang di-Pertuan Agong dijangka pada malam ini namun ia masih tidak dipastikan.
“Ia bergantung kepada pertemuan antara Dr Mahathir Mohamad dan Yang di-Pertuan Agong petang ini,” menurut sumber.
Mereka yang dijangka akan menghadap Sultan adalah Mohamad Fuzi Harun, ketua Angkatan Tentera Malaysia Raja Mohamad Affandi Mohd Nor dan ketua setiausaha negara Ali Hamsa.
Katanya, mereka bertiga akan mengadakan pertemuan itu di Putrajaya pada jam 2.30 petang bagi membincangkan langkah yang akan diambil selepas pilihan raya umum dan peralihan kuasa yang lancar.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa keselamatan di negara ini dalam keadaan terkawal. Setakat ini tidak berlaku insiden tidak sihat,” katanya.
Berhubung kesan kemenangan mengejut Pakatan Harapan terhadap Barisan Nasional kepada polis, Mohamad Fuzi berkata pasukan keselamatan merupakan agensi profesional dan akan menjalankan tugas kepada kerajaan bagi menguatkuasakan undang-undang.– 10 Mei, 2018.
Komen