LEBIH kurang 12 jam selepas Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya disahkan mendapat mandat rakyat untuk menguruskan Malaysia, Dr Mahathir Mohamad hari ini akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Beliau akan mengetuai sebuah kerajaan baharu selepas kerajaan sebelumnya ditolak oleh rakyat.
Awal hari ini juga ada berita majlis itu hendak dibuat pada sebelah pagi dan disiarkan secara langsung tetapi pihak Istana Negara kemudian memberitahu majlis itu bukan dibuat pada hari ini. Siang bukan, malam pun bukan.
Tidak lama selepas itu, bekas perdana menteri Najib Razak dalam kenyataannya kepada media, yang pertama selepas membawa Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya, menyerahkan urusan lantikan itu kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menyebut tiada parti yang menang majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Beliau menyebut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi semuanya sudah jelas dan terang – tiada apa-apa yang terselindung tentang urusan dan tatacara pelantikan perdana menteri di negara ini.
Jelas dan terangnya urusan dan tatacara itu menyebabkan tiada apa-apa alasan juga untuk Dr Mahathir, 93, tidak diangkat sebagai perdana menteri kerajaan Malaysia yang baharu, yang dipilih oleh rakyat dalam PRU14 semalam.
Perlembagaan Persekutuan memang ada memberikan ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan “budi bicara” dalam perihal melantik perdana menteri seperti yang termaktub dalam Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
Budi bicara itu bagaimanapun bukan suatu budi bicara yang luas tetapi terhad setakat apa dinyatakan dalam undang-undang yang menjadi punca kuasa kepada Seri Paduka.
Perlembagaan Persekutuan menyatakan orang yang boleh dilantik untuk jadi perdana menteri ialah “ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan itu”.
Dalam erti kata, ada dua kriteria yang perlu dipenuhi untuk melantik perdana menteri: pertama, calon perdana menteri itu ialah ahli Dewan Rakyat dan kedua, beliau mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat yang lain di Dewan Rakyat.
Tiada apa-apa – sama sekali tiada – dalam undang-undang tertinggi negara itu yang menyatakan hanya ketua parti boleh dilantik sebagai perdana menteri.
Tidak ada.
Mana ada?
Tidak juga semestinya ketua parti adalah orang yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Sejak PH mengesahkan pencalonannya sebagai bakal perdana menteri pada 7 Januari 2018, bukan saja satu Malaysia tetapi seluruh dunia pun tahu kalau BN tumbang, Dr Mahathir akan jadi perdana menteri sekali lagi.
Keraguan ini timbul tentunya kerana bekas perdana menteri Najib melihat BN itu “sebuah parti” tetapi PH hanyalah empat parti yang bergabung untuk matlamat singkat dapat kuasa. Agaknya begitulah.
Beliau tidak dapat menerima bahawa empat parti itu bergabung atas keyakinan untuk menjadikan Malaysia lebih hebat – dalam erti kata yang sebenarnya, dan kembali bermartabat.
Beliau mungkin terlupa PH bukan sebuah parti kerana pendaftarannya berdepan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan – yang disifatkan oleh empat parti itu sebagai “sengaja dipersulitkan” oleh pentadbiran Najib.
Tetapi dalam soal pelantikan perdana menteri ini, soal parti itu tidak penting.
Semua itu kini sudah jadi bab yang lepas.
Petang ini, apabila Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, tanah air ini membuka satu bab baru dalam sejarahnya yang sudah melangkau enam dekad.
Aral kecil episod angkat sumpah ini satu peringatan bahawa yang teratas dalam kerja mengurus negara tercinta milik kita bersama ini adalah kedaulatan undang-undang.
Tiada ada kerja – besar atau kecil – yang boleh lagi terlepas dari patuh kepada peraturan. Peraturan itu juga semestinya saksama bagi semua, tiada yang terkecuali.
Ini harapan rakyat kepada kerajaan yang berjanji dengan harapan ini. – 10 Mei, 2018.
Komen