Suhu makin panas, Sarawak agih air minuman ke kawasan pedalaman


Suhu di Baram dan Mukah di kawasan pedalaman utara dan tengah Sarawak mencecah 37 darjah selsius dalam minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2024.

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mula mengumpul air minuman untuk diagihkan ke kawasan pedalaman susulan cuaca semakin panas.

Adun Telang Usan Dennis Ngau berkata kawasannya antara daerah yang mengalami suhu tinggi pada masa ini.

“Saya hadir satu program di Ulu Baram semalam. Suhu sangat panas. Hujan turun sedikit sesekali tetapi suhu kekal pada paras tinggi.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah mula mengumpul air minuman. Kami agihkan air minuman ke beberapa kawasan pedalaman yang ada penduduk.

“Kami sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan musim kemarau,” katanya.

Dua hari lalu seorang aktivis sosial memberitahu pihak berkuasa kerajaan negeri perlu merangka pelan kecemasan bekalan air terawat, bukan sekadar untuk minum dan memasak, tetapi untuk mandi dan membasuh, bagi jutaan populasi di kawasan pedalaman Sarawak berikutan kemarau dijangka tiba lebih awal daripada biasa.

Suhu di Baram dan Mukah di kawasan pedalaman utara dan tengah Sarawak mencecah 37 darjah selsius dalam minggu lalu.

Aktivis sosial Baram Willie Kajan berkata suhu semakin panas di kawasan pedalaman.

“Cuaca sangat panas dan kering walaupun sekarang masih April.

“Suhu direkodkan Jabatan Meteorologi adalah 37 darjah selsium dan Amaran 1 dikeluarkan.

“Suhu seperti ini biasanya pada Julai atau Ogos, tetapi sekarang April pun sudah terasa bahangnya. “Ini adalah antara tanda kemungkinan kemarau sudah dekat.

“Pihak berkuasa bekalan air perlu ada pelan kecemasan bagi membantu penduduk di kawasan penempatan di pedalaman yang kehabisan air bersih,” katanya.

Bermula 20 Mac, kebakaran hutan menyebabkan berpuluh-puluh hektar kawasan di sempadan Sarawak-Brunei terbakar, lapor The Vibes

Punca kebakaran hutan itu belum jelas – sama ada ia adalah pembakaran terbuka yang disengajakan oleh aktiviti pertanian atau kerana kemarau.

Pada 27 Februari, kira-kira 35 kes kebakaran hutan dilaporkan di Sarawak.

Utara Sarawak sering dilanda kebakaran hutan dan jerebu setiap tahun, dengan Miri antara kawasan paling teruk terjejas. – 14 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen