Kemerosotan hubungan kaum mampu pulih jika Putrajaya bertindak secara efektif


Desmond Davidson

Situasi hubungan antara kaum akan jadi lebih baik jika kerajaan mula mengambil tindakan tegas dan segera terhadap pihak yang memanipulasi isu sensitif, kata pemimpin politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2024.

KONTROVERSI berkaitan kalimah “Allah” di stokin baru-baru ini boleh menyebabkan hubungan antara kaum yang rapuh di negara ini bertambah buruk, tetapi situasi itu sebenarnya boleh dipulihkan, kata ahli politik dan penganalisis politik.

Pensyarah sains politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan berkata masih ada harapan kerana pihak yang mewujudkan ketegangan itu tidak mewakili kebanyakan rakyat Malaysia yang berfikiran rasional, sama ada Melayu, Cina atau India.

Felo di Akademi Sains itu berkata negara ini penuh dengan kepelbagaian – kaum, budaya dan agama – dan provokasi, terutama dilakukan segelintir individu, tidak akan mampu mengubah kepelbagaian itu.

Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata keadaan akan jadi lebih baik jika, dan apabila kerajaan mula mengambil tindakan tegas dan segera terhadap pihak yang memanipulasi isu sensitif dan melakukan tindakan provokasi untuk mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Kerajaan perlu bertindak sebagai pentadbir hak semua rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang juga senator PKR.

Pakar tadbir urus Asia, James Chin berkata hubungan antara kaum di negara ini mulai goyah selepas pilihan raya umum (PRU) 2018 apabila gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya itu, menyebabkan dua parti Melayu Islam yang utama iaitu Umno dan PAS diketepikan.

Dua parti itu mulai menjadi sekutu dengan menggunakan isu kaum dan bangsa dalam serangan mereka terhadap kerajaan PH yang ketika itu memilih Tun Dr Mahathir Mohmad sebagai perdana menteri.

Tuduhan yang sering dilemparkan kepada kerajaan PH pada masa itu adalah ia dikawal oleh Cina, dengan DAP adalah rakan sekutu utama dalam gabungan PH.

PAS dan Umno cuba menggambarkan yang orang Melayu Islam terpinggir, kata Chin.

Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania itu berkata hubungan antara kaum bertambah teruk pada November 2022 selepas satu lagi PRU.

Parti Melayu-Islam, kali ini PAS dan Bersatu – iaitu parti serpihan Umno – menggunakan isu sentiment sama – dengan Cina meminggirkan semua orang dan Anwar Ibrahim dikawal oleh DAP.

“Hadi buat pelbagai kenyataan yang sebelum ini pada 2018, beliau tidak cakap begitu,” kata Chin merujuk kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Malah katanya, Hadi mendesak untuk memansuhkan “kerajaan tidak Islamik” itu.

Chin berkata fasa kedua itu lebih teruk berbanding dua sebab yang pertama.

Pertama adalah PAS bijak menggunakan pelbagai platform media sosial, terutama TikTok dan keduanya adalah kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengesan siapa sebenarnya yang menyebarkan kebencian.

“Kerajaan juga tidak bertindak dengan berkesan untuk menyediakan naratif alternatif terhadap ucapan kebencian yang mendominasi media sosial,” katanya.

Menerusi TikTok, PAS dapat mencapai orang Melayu di kawasan pedalaman di semenanjung, kata Chin.

Jawan senada dengan Chin berkata hubungan antara kaum di Malaysia “tidak bertambah baik” sejak beberapa tahun terakhir ini.

Beliau berpandangan ini kerana Malaysia kekurangan “kepimpinan yang adil dan baik untuk masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya”.

Katanya, masalah itu mungkin diburukkan lagi dengan adanya parti politik berasaskan kaum sejak sekian lama yang ditubuhkan dengan niat untuk mewakili kepentingan sesetengah kaum seperti Umno dan PAS untuk orang Melayu.

Jawan berkata sesetengah parti politik lain nampak seperti majmuk tetapi ia sebenarnya didominasi satu kaum seperti DAP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata kontroversi terbaru, seperti stokin dengan kalimah Allah, menunjukkan sebahagian golongan muda Malaysia “melampaui batas dalam cubaan mereka untuk menggambarkan diri sebagai juara dalam masyarakat mereka”.

Walaupun Abun Sui mungkin tidak bersetuju dengan Chin dan Jawan apabila berkata hubungan kaum “masih baik”, beliau memberi amaran ada ahli politik yang memanipuasi isu kaum dan agama untuk meraih sokongan politik.

Beliau berkata mereka itu adalah individu yang tidak ada apa-apa untuk ditawarkan kepada rakyat, jadi mereka memilih untuk mengeksploitasi 3R – institusi diraja, kaum dan agama. – 14 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen