Ahli Parlimen BN akui kalah teruk kerana sentimen GST


The Malaysian Insight

AHLI Parlimen Larut Hamzah Zainuddin mengakui antara punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) adalah disebabkan sentimen cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau yang tidak menyangka BN akan kehilangan tampuk kuasa selepas 60 tahun itu bagaimanapun mempersoalkan adakah Pakatan Harapan mampu memansuhkan GST seperti dijanjikan.

“Tiada kaitan dengan harga barang (naik). Ia (kekalahan) adalah disebabkan sentimen GST (dimainkan PH).

“Mereka mahu kurangkan dan mansuhkan GST. Tetapi mereka akan kehilangan pendapatan lebih RM40 bilion,” katanya yang merupakan bekas menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu.

Beliau ditemui ketika di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas perjumpaan pengerusi BN Najib Razak bersama ahli Parlimen BN yang lain.

PH sebelum ini dalam manifestonya berjanji akan menghapuskan cukai GST 6% yang dilaksanakan BN bermula April 2015.

Hamzah bagaimanapun tidak yakin PH akan mampu melaksanakan manifesto mereka kerana tidak mempunyai pendapatan yang cukup. – 10 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen