AHLI Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman hari ini menyalahkan pengaruh media sosial terhadap kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tajuddin, yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak, mengakui terdapat pertarungan sengit di peringkat akar umbi dan mengakui tidak terkejut dengan keputusan itu.
“Pengundi muda sangat dipengaruhi oleh media sosial, dengan serangan dan tuduhan terhadap kerajaan dan kepimpinan.
“Ia mempengaruhi pengundi muda,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN, Najib Razak.
Najib mengadakan sidang media awal hari ini tetapi tidak mengakui kekalahan.
Pakatan Harapan memenangi 104 kerusi, diikuti BN (79), PAS (18), DAP (9), Parti Warisan Sabah (8), Solidariti Tanah Airku (1) dan calon bebas (3).
Ketika ditanya mengenai kemungkinan ahli Parlimen Umno lompat, Tajuddin berkata Najib telah menyatakan dengan jelas bahawa ia merupakan masa sukar untuk parti itu.
“Kita mesti terus kerja bersama dan meniupkan semangat kepada penyokong kita agar terus kubat, jika kita bertindak demi parti dan rakyat.
“Parti tidak mempunyai undang-undang anti-lompat, ini negara demokrasi,” katanya.
Beliau juga menambah yang Najib masih bersemangat dan mahu melakukan sesuatu untuk parti bergerak maju
“Dia berkata, kita akan terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat, apa-apa boleh terjadi pada hari ini, esok.
“Tetapi buat masa sekarang kami menerima keputusan tersebut. Tidak mahu membuat sebarang masalah atau menampakkan kami seperti orang jahat,” katanya. – 10 Mei, 2018.
Komen