SULTAN Selangor memperkenankan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar dan upacara mengangkat sumpah akan dilakukan jam 3 petang esok di istana Shah Alam.
Azmin memohon menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah petang tadi untuk memaklumkan berkenaan keputusan PRU14.
Beliau yang juga menteri besar pada penggal lalu dari 2014, memaklumkan kepada Sultan bahawa beliau menerima sokongan dewan undangan negeri untuk dilantik sebagai menteri besar.
Pakatan Harapan menang 51 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.
Sultan juga menzahirkan harapannya untuk kerajaan negeri Selangor dibentuk secepat mungkin selepas menerima mandat daripada rakyat.
Penyegeraan itu juga bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar, menurut setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani. – 10 Mei, 2018.
Komen