Bekas menteri luar puji kemajuan Perhimpunan Rakyat Myanmar


Bekas menteri luar Saifuddin Abdullah berkata kongres itu merupakan kemajuan penting dalam solidariti dan kesiapsiagaan rakyat merampas semula kepimpinan negara daripada junta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2024.

KUMPULAN Penasihat Malaysia mengenai Myanmar hari ini menyambut baik keputusan yang diambil oleh Perhimpunan Rakyat Myanmar yang diadakan awal bulan ini untuk memansuhkan beberapa undang-undang diskriminasi.

Antara undang-undang diskriminasi yang dimansuhkan dalam perhimpunan diadakan oleh Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan Myanmar (NUCC) ialah Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar 1982 yang secara sistematik mengecualikan orang Rohingya daripada hak kewarganegaraan mereka selama beberapa dekad.

Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar Syed Hamid Albar yang juga bekas menteri luar dalam satu kenyataan berkata keputusan penting untuk memansuhkan Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar (1982) menunjukkan satu langkah penting ke arah keterangkuman dan kesaksamaan selaras dengan Bab 5 Piagam Demokrasi Persekutuan .

“Kami juga ambil perhatian beberapa wakil Rohingya terlibat sebagai peserta yang sama pada perhimpunan itu termasuk ahli Jawatankuasa Bersidang untuk kemunculan Majlis Perundingan Rohingya,” katanya.

Tambahnya perhimpunan itu yang menyaksikan penyertaan 204 perwakilan, 104 jemputan khas dan 128 pemerhati mempamerkan komitmen terpuji terhadap keseimbangan jantina dengan 34.3% perwakilan wanita dalam kalangan peserta.

Keputusan penting lain daripada perhimpunan termasuk komitmen untuk mengharmonikan mekanisme di kalangan kuasa revolusioner untuk memastikan akauntabiliti dalam pentadbiran darat, pertahanan dan keselamatan selaras dengan prinsip Piagam Demokrasi Persekutuan.

Perhimpunan itu juga bersetuju untuk melakukan pendekatan strategik memerangi undang-undang kerahan tenaga junta tentera yang menyalahi undang-undang melalui usaha kolaboratif dengan rakyat dan pasukan revolusioner.

Syed Hamid juga menggesa Malaysia dan kerajaan di rantau ini untuk mengambil perhatian terhadap perhimpunan dan keputusannya serta untuk memperdalam penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam menyokong demokrasi dan keadilan di Myanmar.

NUCC ialah gabungan kumpulan politik menentang junta yang mengambil alih Myanmar melalui rampasan kuasa pada 1 Februari 2021.

Sementara itu Perhimpunan Rakyat adalah kumpulan yang merangkumi semua kuasa pro-demokrasi utama yang berjanji untuk membawa junta ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk dibicarakan atas kekejamannya terhadap orang awam ekoran rampasan kuasa.

Sidang perhimpunan dari 4 hingga 9 April adalah yang kedua manakala perhimpunan pertama diadakan pada Januari 2022.

Perhimpunan pertama mengesahkan Piagam Demokrasi Persekutuan yang digubal NUCC secara rasmi menubuhkan NUCC dengan wakil daripada 33 pertubuhan ahli dan mengesahkan semula pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG).

Sementara itu seorang lagi bekas menteri luar Saifuddin Abdullah juga berkata kongres itu merupakan kemajuan penting dalam solidariti dan kesiapsiagaan rakyat merampas semula kepimpinan negara daripada junta.

“Saya melihat dua komponen utama perkembangan daripada keputusan perhimpunan. Pertama peningkatan keterangkuman perhimpunan di mana lebih ramai wakil daripada spektrum rakyat yang lebih luas hadir termasuk Rohingya.

“Dan kedua terdapat cadangan konkrit mengenai penggubalan undang-undang dan dasar yang benar dan adil contohnya untuk menghapuskan Akta Kewarganegaraan 1982 yang diskriminasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah perhimpunan itu diadakan pada masa junta kehilangan kawalan lebih banyak wilayah kepada organisasi/pasukan revolusioner dan pertahanan rakyat yang sejajar dengan NUG dan NUCC. – 12 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen