7 wakil rakyat Bersatu digesa letak jawatan, kata Razali


Ketua Penerangan parti Razali Idris berkata enam ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi serta-merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2024.

BERSATU mengumumkan keahlian enam ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan tidak lagi sah.

Ketua Penerangan parti Razali Idris berkata kesemua mereka perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi serta-merta.

Tambahnya keahlian mereka ditamatkan selepas kelulusan pindaan perlembagaan Bersatu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan perlembagaan parti seperti diluluskan ROS.

“Enam ahli Parlimen dan Adun digesa tidak menunggu surat daripada Bersatu, sebaliknya jika anak jantan (gentleman), lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi,” katanya seperti yang dipetik oleh Berita Harian, hari ini.

RoS meluluskan pindaan kepada perlembagaan Bersatu pada 2 April. Pindaan itu membolehkan parti itu melucutkan keahlian wakil rakyatnya yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti.

Tindakan itu dibuat susulan enam ahli Parlimen Bersatu yang berikrar menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tanpa meninggalkan parti.

Enam ahli Parlimen berkenaan ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).

Enam ahli Parlimen berkenaan berkata mereka menyokong kerajaan perpaduan kerana memerlukan pembiayaan persekutuan untuk pembangunan kawasan pilihan raya.

Sokongan mereka kepada Anwar juga meningkatkan sokongan perdana menteri di Parlimen memberikannya majoriti dua pertiga.

Pada awal Mac, Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari menyuarakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, memetik alasan yang sama seperti enam ahli Parlimen. – 12 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen