Lelaki Israel bersenjata didakwa esok, kata KPN


WARGA Israel Shalom Avitan yang ditangkap bersama enam pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel bulan lepas akan didakwa esok, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

The New Straits Times melaporkan Razarudin berkata Avitan akan didakwa di Mahkamah Sesyen KL.

Avitan ditahan di sebuah hotel Kuala Lumpur pada 27 Mac dan mendakwa berada di Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian keluarga dengan membunuh seorang lagi warga Israel.

Pada Isnin, sepasang suami isteri yang dituduh membekalkan senjata api kepada Avitan berdepan pertuduhan di mahkamah sesyen Klang.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.

Suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43,didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Kesalahan yang didakwa berlaku pada 29 Mac lalu di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor.

Kedua-dua individu mengaku tidak bersalah dan menuntut dibicarakan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat.

Sebelum ini dilaporkan polis menahan 16 orang sebagai sebahagian daripada siasatan kes ini. – 11 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen