Kes rogol gadis bawah umur meningkat, kata Bukit Aman


JUMLAH kes membabitkan kes rogol dan rogol berkumpulan terhadap gadis bawah umur sedang meningkat, dengan polis berkata mangsa diumpan menerusi media sosial.

Statistik polis menunjukkan 1,299 kes rogol membabitkan gadis bawah umur dilaporkan pada 2021, meningkat kepada 1,388 pada 2022 dan 1,590 pada 2023.

Kes rogol berkumpulan gadis bawah umur turut mengalami trend meningkat dengan 61 kes dilaporkan pada 2021 berbanding 103 kes pada 2022 dan 104 kes tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan berkata berdasarkan siasatan terhadap mangsa, kebanyakan mengenali pelaku melalui media sosial.

“Majoriti gadis bawah umur yang menjadi mangsa rogol ini memberitahu pegawai penyiasat, mereka mengenali individu yang merogol melalui laman sembang dan media sosial terlebih dulu, sebelum berjumpa.

“Ini menunjukkan gadis ini melalui fasa ‘grooming’ (dipikat) terlebih dahulu dengan hantaran mesej yang bermula dengan ‘hai’ dan kata-kata pujian yang lain.

“Kemudian membawa kepada penghantaran gambar bogel oleh mangsa, dan ke fasa berjumpa yang kemudian membawa kepada kejadian rogol atau rogol secara berkumpulan,” katanya dipetik daripada Bernama.

Beliau berkata selain dijadikan platform pengantunan (pujukan), media sosial juga digunakan oleh pedofilia untuk menyebarkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak kepada individu lain yang berkongsi kecenderungan dengannya.

“Mereka berkongsi bagaimana mereka memperdaya kanak-kanak tersebut dan keseronokan mereka apabila berjaya mengeksploitasi kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Siti Kamsiah berkata ibu bapa perlu menerapkan adab kepada anak agar menjaga batas ketika bersosial di alam maya dan ingatkan mereka agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi perkara atau perlakuan yang melampaui batas adat, budaya dan larangan agama.

Ibu bapa juga dinasihatkan sentiasa memeriksa dan memantau aktiviti anak-anak, terutama dalam penggunaan peranti dan alat telekomunikasi.

“Paling penting, ibu bapa perlu tanamkan nilai dan sahsiah tinggi, terutama perasaan malu untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dari sudut moral dan agama, iaitu perbuatan yang boleh memalukan dan memudaratkan diri sendiri,” katanya.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu meningkatkan tahap kawalan kendiri anak masing-masing agar mereka berupaya melindungi diri sendiri daripada menjadi sasaran pedofilia yang memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi. – 10 April, 20


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen