KEKALAHAN tiga kerusi oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada PRU14 adalah tindak balas pengundi Dayak terhadap Presiden PRS James Masing, kata penganalisis politik.
Pensyarah politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jeniri Amir berkata isu nasional seperti masalah kepimpinan bekas perdana menteri Najib Razak, salah guna kuasa, rasuah dan skandal kewangan 1MDB, Felda dan “derma” RM2.6 bilion dalam akaun Najib mungkin menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) secara amnya.
Tetapi, katanya kemarahan kaum Dayak terhadap Masing kerana menyingkirkan dua penyandang menyebabkan kekalahan itu, yang terbesar bagi parti tunggal dalam gabungan empat parti di negeri itu.
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti utama di negeri itu buat pertama kalinya dalam sejarah, hilang satu kerusi.
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak kalah mana-mana kerusi tetapi gagal mendapatkan semula enam kerusi yang tewas kepada DAP dan PKR pada PRU13 sementara Parti Demokratik Progresif (PDP) satu-satunya parti yang terselamat.
Masing, ketika dua hari sebelum penamaan calon, menyingkirkan timbalan dan penyandang bagi kerusi Selangau iaitu Joseph Entulu, dan penyandang DUN Lubok Antu, William Nyalau serta tiga yang lain kerana didakwa “melakukan sesuatu bertentangan dengan kepentingan parti”.
Entulu ialah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Jeniri berkata pemecatan itu ialah tindakan awal sebelum Najib sebagai pengerusi BN mungkin bertindak mengambil semua dua individu berkenaan menjadi calon.
Calon yang dipilih oleh Masing iaitu bekas peguam korporat Rita Insol di Selangau dan bekas timbalan pendakwa raya Robert Alam Pasang di Lubok Antu tewas.
PRS memegang kerusi Selangau sejak 1995 dengan Entulu menjadi wakil rakyatnya untuk tiga penggal sejak 2004 sementara gabungan itu memegang Lubok Antu selama 40 tahun.
Menambah luka mereka, ahli Parlimen Julau daripada PRS selama empat penggal dan bekas timbalan menteri maklumat, komunikasi dan kebudayaan Joseph Salang tewas dengan calon bebas. – 10 Mei, 2018.
Komen