TENGKU Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak menjangkakan yang Barisan Nasional (BN) akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata kekalahan tersebut disebabkan oleh kempen giat Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kali ini.
“Saya tidak terkejut, saya menjangkakan yang kekalahan akan berlaku tetapi tidaklah seburuk ini.
“Pengundi bandar telah kembali dan ia mendatangkan kesan,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN Najib Razak.
Malam tadi, PH, sebuah gabungan tidak rasmi, mendakwa yang ia sudah mencapai kemenangan untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Pada awal pagi hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan PKR menang sebanyak 104 kerusi, manakala sekutunya DAP menang sembilan kerusi di Sabah dan Sarawak, memberikan mereka majoriti mudah sebanyak 113 kerusi.
112 kerusi Parlimen diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan. BN hanya berjaya memenangi 79 kerusi Parlimen.
Mengenai masa depan Najib dalam mengetuai Umno, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata Najib harus menggunakan budi bicaranya mengenai perkara itu.
“Saya pasti dia mesti merasakan tekanan untuk berundur. Itu tidak ada siapa boleh sangkal tetapi anda perlu bertanya sendiri.
“Saya rasa dia akan membuat keputusan apabila tiba masanya,” katanya. – 10 Mei, 2018
Komen