Agong nasihat pemimpin politik elak beri pandangan ekstrem


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Tmbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda Umno r Muhamad Akmal Saleh. – Gambar Facebook, 9 April. 2024.

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menasihatkan pemimpin politik supaya tidak ekstrem dalam memberikan pandangan berkenaan isu berkaitan bangsa dan agama.

Baginda bertitah pemimpin perlu menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara ini dengan contoh perilaku yang matang.

Awal hari ini, Agong berkenan menerima mengadap Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong.

Sesi mengadap bersama Seri Paduka Baginda bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu sensitiviti agama dan kaum, menurut hantaran di akaun Facebook rasmi Agong hari ini.

“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan. Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim.

“Saya berharap pemimpin politik tidak ekstrem dalam memberikan pandangan tentang isu agama dan perkauman. Bukan hanya Umno dan DAP, tetapi juga semua parti.

“Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang.”

Agong berkata kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

“Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia. Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titahnya.

Akmal meraih perhatian sejak beberapa minggu ini susulan gesaannya untuk memboikot KK Mart susulan rangkaian kedai itu menjual stokin dengan kalimah “Allah”.

KK Mart dan pengasasnya kemudian meminta maaf berhubung itu dan didakwa di mahkamah, sementara Akmal disiasat polis mengikut akta hasutan dan akta multimedia kerana tindakannya yang terus menerus menyerang rangkaian kedai runcit itu.

Minggu lalu, Agong memberikan amaran terakhir kepada semua pihak supaya tidak lagi memainkan isu stokin itu.

Bagaimanapun, Akmal dilaporkan berkata beliau akan terus melancarkan boikot terhadap KK Mart. – 9 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen