PAKATAN Harapan (PH) akan menilai semula pelaburan China di Malaysia untuk melihat sama ada ia berdaya maju atau tidak, kata Dr Mahathir Mohamad.
Calon perdana menteri itu berkata antara isu yang perlu disemak semula ialah Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL) kerana China cenderung melakukan urus niaga yang berat sebelah.
“Kami perlu kaji semua perkara yang dilakukan kerajaan sebelum ini. Ia bukan sepenuhnya tentang China tetapi banyak perkara dalam negara. Seperti yang anda tahu China ada banyak pengalaman melakukan urus niaga yang tidak sama rata.
“Kami perlu kaji ia dan jika perlu akan melakukan rundingan semula tentang syaratnya. ECRL dan banyak lagi perkara yang akan menjadi beban besar,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar hari ini.
Bagaimanapun, katanya beliau akan menyokong inisiatif belt and road China tetapi perlu memastikan kedaulatan Malaysia.
“Kita perlu kurangkan peminjaman, jika tidak keadaan kita susah nanti. Terlalu banyak kapal perang di kawasan ini, kapal perang akan menarik kapal perang lain.
“Tempat ini akan jadi tegang. Kita tidak mahu dengar ada potensi perang di negara ini,” katanya.
Sejak beberapa tahun terakhir ini, projek China semakin banyak dan antaranya termasuk ECRL pada kos AS$13 bilion (RM51 bilion), Malacca gateway (AS$10 bilion) dan Forest City di Johor (AS$100 bilion). – 10 Mei, 2018.
Komen