Bank Negara tidak pertimbang kawalan modal tingkatkan ringgit


Bank Negara Malaysia tidak akan mengenakan kawalan modal atau sekatan untuk mengukuhkan ringgit selepas mengambil kira potensi kos dan impak kepada ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2024.

BANK Negara Malaysia tidak akan mengenakan kawalan modal atau sekatan untuk mengukuhkan ringgit, kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dalam satu kenyataan hari ini.

FMC berkata langkah seperti yang diperkenalkan semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997 tidak akan dilaksanakan sekarang selepas mengambil kira potensi kos dan impak kepada ekonomi.

Jawatankuasa itu bersidang hari ini untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit.

Ia berkata sejak mesyuarat terakhirnya pada 1 Mac, pergerakan ringgit dan mata wang serantau terus didorong oleh faktor global terutamanya ketidaktentuan mengenai masa dan tahap pelarasan kadar faedah oleh bank pusat utama.

Ini dibuktikan lagi oleh data pasaran buruh AS yang lebih kukuh daripada jangkaan pada Jumaat lepas menunjukkan ekonomi AS yang lebih berdaya tahan lantas meningkatkan risiko Federal Reserve AS mengekalkan kadar faedah yang lebih tinggi bagi tempoh yang lebih lama.

Namun begitu FMC berkata mesyuarat menyatakan bahawa jangkaan pasaran terus kekal bagi Federal Reserve AS untuk menurunkan kadar faedah pada separuh kedua tahun 2024.

“Anggota FMC menyatakan bahawa pagi ini, ringgit didagangkan dalam keadaan yang teratur. Nilai ringgit pada waktu dagangan dibuka adalah pada 4.7475, iaitu nilai yang sama semasa waktu dagangan ditutup pada akhir hari Jumaat lepas, dan pergerakannya selaras dengan mata wang serantau lain.

“Mesyuarat telah membincangkan secara lanjut kesan usaha-usaha terselaras yang dilaksanakan bagi menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten oleh syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment companies, GLIC) serta libat urus yang lebih meluas dengan syarikat korporat dan perniagaan di Malaysia.

“Sejak 26 Februari, ringgit merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh berbanding dolar AS (US dollar, USD), iaitu meningkat sebanyak 0.6%,” kata FMC.

FMC juga menambah bahawa usaha-usaha terselaras yang sedang dilaksanakan dapat dikekalkan berikutan tumpuan yang diberikan pada pendapatan pelaburan dan hasil eksport yang bersifat berulang.

“Selain itu, pengukuhan ringgit yang lebih berterusan mampu meningkatkan minat yang lebih meluas untuk penukaran FX oleh syarikat korporat yang mempunyai lebihan pegangan mata wang asing, lantas memberikan sokongan lanjut terhadap sentimen ringgit.

“Mesyuarat ini khususnya terdorong oleh usaha-usaha yang dipertingkatkan oleh BNM bagi menggalakkan penukaran FX oleh syarikat korporat dan perniagaan Malaysia,” katanya.

Pengerusi FMC dan timbalan gabenor Bank Negara Adnan Zaylani dalam pada itu berkata paras ringgit semasa di bawah nilai saksama meskipun asas-asas ekonomi Malaysia terus kukuh dan prospek ekonomi adalah positif

Sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang berlarutan dalam kalangan peserta pasaran, beliau juga menegaskan bahawa BNM tidak mempertimbangkan kawalan modal atau sekatan seperti yang dilaksanakan semasa Krisis Kewangan Asia (Asian Financial Crisis, AFC) disebabkan oleh potensi kesan buruk terhadap ekonomi.

FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. – 8 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen