BIARPUN beberapa rakan sejawatnya dalam kerajaan negeri sebelum ini gagal melihat kejatuhan Barisan Nasional (BN), tetapi tidak bagi Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Abdullah Saidol.
“Saya telah beritahu secara terbuka dua tahun lepas, dan inilah padahnya bila tak ambil kami (Sarawak) secara serius,” beliau memberitahu Malaysia Decides berkenaan kegagalan BN mempertahankan 10 kerusi parlimen sehingga menyebabkan parti gabungan yang memerintah Malaysia selama 60 tahun itu tersungkur.
Abdullah, yang pernah menjadi pengerusi BN Backbenchers Club Sabah pada 2016, berkata ketika itu beliau sudah memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak terus beranggapan Sabah akan kekal sebagai deposit tetap BN dalam PRU14.
Beliau berkata BN perlu menunaikan janji-janji yang diberi pada pilihan raya 2013 mengenai tuntutan hak dan autonomi yang lebih daripada kerajaan Persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Sarawak telah diabaikan. Mereka tak ambil serius mengenai kami dan kini menerima padah.”
PRU14 semalam hanya melibatkan kerusi parlimen kerana pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diadakan pada 2016.
Keangkuhan dan “tingkah laku feudal” beberapa pemimpin Umno juga harsu dipersalahkan, kata Abdullah.
Beliau menyebut perbalahan antara rakan sejawat beliau dengan bekas menteri pelancongan Nazri Aziz berkenaan cukai pelancongan.
Penganalisis politik Jeniri Amir berkata kekalahan BN adalah kerana ia gagal melunaskan janji untuk menyediakan kemudahan asas kepada penduduk luar bandar.
“Sudah 55 tahun penduduk meminta kemudahan asas, air bersih, elektrik dan jalan raya yang sempurna.
“Tetapi mereka masih gagal laksanakannya. Mereka berjanji dan terus berjanji, namun tak pernah tunaikan.
“BN memandang rendah kuasa pengundi luar bandar. BN hanya menganggap mereka sebagai deposit tetap tetapi layanan yang diberikan tidak sebegitu,” kata penyarah sain politik di Universiti Malaysia Sarawak itu.
“Mereka telah diketepikan sehinggalah sampai ke satu tahap. Ini satu ‘wake-up call’ untuk BN.” – 10 Mei, 2018.
Komen